Posted on May 31, 2012, Thursday
MIRI: Meskipun tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) belum diumumkan, namun sudah ada calon-calon khususnya parti pembangkang melahirkan keyakinan tinggi untuk menang dengan majoriti besar.
Pemerhati Politik Wan Zain Syed Mohdzar memberitahu, setiap calon mesti mempunyai keyakinan untuk menang tetapi hanya pengundi sahaja yang menentukan wakil rakyat pilihan mereka.
“Tidak salah jika mereka yakin untuk menang sama ada calon daripada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat tetapi yang menentukan kemenangan calon terletak di tangan pengundi,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.
Menurutnya, pengundi sekarang lebih profesional dalam memilih wakil rakyat yang berwibawa dan boleh bekerja dan bukannya meneruskan trend memilih wakil rakyat yang hanya pandai bercakap.
“Pengundi sekarang tidak seperti dahulu di mana mereka hanya menyokong parti tanpa menilai status calon tetapi sekarang mereka akan menilai kriteria wakil rakyat yang mampu bekerja dengan baik,” katanya.
Beliau memberitahu, tidak kiralah sama ada calon daripada kerajaan atau pembangkang, selagi mereka dekat di hati rakyat dan sentiasa ada masa untuk rakyat, maka calon itu secara automatik akan dipilih.
“Apa yang penting ialah setiap calon yang bertanding diyakini rakyat boleh berkhidmat dengan baik bukannya hanya pandai bercakap pada kempen pilihan raya sahaja,” katanya.
Beliau berkata pengundi kebiasaannya akan menolak calon-calon yang difikirkan tidak dapat menyumbang atau membela nasib mereka terutama calon yang bertanding semula.
“Pengundi akan menilai wakil rakyat di kawasan masing-masing sepanjang penggal dan sekiranya wakil rakyat itu kurang disenangi rakyat, maka mereka memilih wakil rakyat baharu,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment