Tuesday 5 June 2012

Donald Lawan dikhabar aktif semula dalam politik

June 5, 2012, Tuesday


KUCHING: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan Donald Lawan dikhabarkan akan aktif semula dalam arena politik negara.

Menurut sebuah akhbar tabloid tempatan berbahasa Iban, Donald dilaporkan amat berminat bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sebagai calon Bebas yang mesra Barisan Nasional (BN).

Tabloid itu melaporkan beliau berminat terhadap kerusi Parlimen Sri Aman yang ketika ini diperuntukkan kepada Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Masir Kujat selaku penyandang.

Menariknya Masir dan Donald merupakan sahabat baik malah umum sedia maklum Donald pernah membantu melobi pencalonan Masir mewakili BN pada PRU Ke-12 (2008).

Namun, tidak dapat dipastikan hasratnya itu mempunyai pertalian dengan kemungkinan Masir akan digantikan dengan calon BN yang baharu ekoran laporan-laporan kurang menyenangkan daripada ketua-ketua masyarakat di situ.

Tabloid itu pula dengan jelas menyatakan Donald akan memastikan impiannya menyingkirkan Masir sebagai Ahli Parlimen Sri Aman menjadi realiti.

PRS dalam kenyataannya sebelum ini mengesyorkan Masir akan mempertahankan kerusi itu pada PRU13 nanti.

Donald bagaimanapun tidak dapat dihubungi semalam untuk mendapat penjelasan lanjut mengenai perkara itu.

Menurut tabloid Iban itu lagi Donald yang juga ahli perniagaan sudah pun menabur janji-janji pilihan raya antaranya menubuhkan dana untuk pelajar iaitu ‘Tabung Pelajar Sekular P 202’ dan gaji bulanannya sebagai Ahli Parlimen sebanyak RM9,000 akan disalurkan sepenuhnya kepada dana itu.

Tabloid itu juga melaporkan antara pendorong beliau bergiat semula dalam arena politik ialah hubungan baiknya dengan pucuk kepimpinan BN pusat serta negeri ditambah kepintaranya dalam perniagaan dan menerusi hubungan baik itu, ia akan membantunya mendapatkan pembangunan lebih baik untuk Sri Aman.

Pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri 1991, Donald bertanding di kerusi Bukit Bagunan menggunakan tiket BN dan mengalahkan orang kuat Parti Bansa Dayak Sarawak Dato Sri Daniel Tajem yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri dengan majoriti 534 undi.

Bagaimanapun beliau bertukar angin dengan mencuba nasib sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri 1996 di konstituensi sama dan tewas kepada Datuk Mong Dagang dengan majoriti 2,165 undi .

Mong merupakan Ketua Pemuda merangkap Naib Presiden PRS dan kekal sebagai ADUN Bukit Begunan sehingga hari ini.

No comments:

Post a Comment