Thursday, 7 June 2012

Tindakan lukis karikatur gambar Najib penghinaan kepada k’jaan: Rosey

MIRI: Tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab melukis karikatur atau mengubah suai gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dianggap satu penghinaan kepada kerajaan.

Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak, Rosey Yunus berkata, rakyat seharusnya menghormati pemimpin nombor satu itu yang selama ini berusaha keras membangunkan negara.

“Kita mengutuk tindakan individu terbabit yang sengaja mengubah suai gambar PM untuk dijadikan bahan humor seterusnya disebarkan dalam laman-laman sosial bagi tujuan politik,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu menjelaskan rakyat Malaysia yang hidup berbudaya dan beradat tidak seharusnya melakukan penghinaan sedemikian.

“Lihat sahaja ke arah positif di mana rakyat Malaysia di bawah pentadbiran Najib hidup dalam keadaan selesa dan rakyat harus bersyukur kerana kebajikan mereka selama ini dibela,” ujarnya.

Menurutnya, tindakan pihak tidak bertanggungjawab meletakkan wajah Najib dalam pelbagai situasi (berbentuk humor) sebagai tanda protes terhadap kerajaan perlu dikenakan tindakan undang-undang.

“Meskipun berbeza fahaman politik, rakyat Malaysia seharusnya menghormati pemimpin negara dan bukannya menyerang peribadi beliau dengan mewujudkan karikatur berupa penghinaan,” ujarnya.

Rosey menjelaskan, rakyat seharusnya melihat atau menilai usaha kerajaan dalam gambaran yang lebih luas seperti menyediakan kemudahan infrastruktur demi keselesaan rakyat.

“Kita faham ada pihak yang tidak berpuas hati dengan kerajaan tetapi harus diingat bahawa kebajikan mereka selama ini telah dijaga rapi oleh kerajaan, itupun kalau mereka sedar atau tidak,” katanya.

Pengerusi Kelab Najib Razak 11 (NRC11) Miri, Suliza Yakod menyelar tindakan individu yang bertindak di luar batasan dengan mengaibkan Perdana Menteri dengan pelbagai bentuk karikatur.

“Tindakan sedemikian merupakan satu penghinaan dan sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya menghormati mana-mana pemimpin negara termasuk Najib dan individu yang berbuat penghinaan itu perlu memohon maaf,” katanya.

Menurutnya, Najib telah membawa transformasi pembangunan untuk semua rakyat dan sewajarnya rakyat harus berterima kasih dengan kerajaan yang prihatin dengan keperluan mereka.

No comments:

Post a Comment