NOOR AZURA SAHRIL
Tony Pua
KUALA LUMPUR - DAP mempersoalkan tindakan kerajaan yang enggan mendedahkan statistik daftar pengundi terkini secara langsung.
Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata, beliau terkejut jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang menyatakan SPR tiada statistik jumlah pengundi baru didaftarkan partiparti politik setiap suku tahun sejak 2008.
Menurutnya, tindakan itu menunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gagal menepati janji untuk menjadikan SPR lebih telus kerana masih mahu merahsiakan perangkaan sebenar daftar pengundi.
“Kita sangat hairan kerana sebelum ini pada tahun 2010 dan 2011, SPR pernah melaporkan jumlah pengundi baru yang didaftarkan.
“Keengganan kerajaan untuk mendedahkan statistik terkini daftar pengundi merupakan satu tindakan tidak sepatutnya,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara mendedahkan pada September 2010, SPR mengeluarkan data rasmi jumlah pengundi yang didaftarkan parti-parti politik.
“Data rasmi yang dikeluarkan SPR menunjukkan bahawa DAP mendaftarkan seramai 9,106 pengundi pada Julai manakala Umno mendaftarkan 7,230 pengundi.
“Pada Jun sebelumnya, DAP mendaftarkan sehingga 20,862 pengundi, manakala jumlah pengundi yang didaftarkan Umno pula seramai 10,675 orang. Jadi mengapa kerajaan tidak boleh memberikan butir terperinci daftar pengundi itu?,” katanya.
Menurutnya, jawapan Nazri tidak boleh diterima kerana mendakwa kononnya SPR tiada maklumat mengenai jumlah statistik pengundi baru yang didaftarkan mengikut negeri kerana SPR tidak merekodkan dalam pangkalan data mereka.
Sedangkan pada 2011, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz mengumumkan pendaftaran pengundi dilakukan 5,686 Penolong Daftar Pemilih dan turut menyatakan jumlah pengundi yang didaftarkan SPR ialah 21,042 pengundi.
No comments:
Post a Comment