Thursday 7 June 2012

Kepimpinan Wong diyakini

by Nick Fletcher.

SUPP Sibu berpeluang cerah untuk rampas semula Sibu, kekalkan kerusi Lanang dan Sarikei pada PRU13: Dr Jerip

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) diyakini mempunyai peluang cerah untuk merampas kembali kerusi Parlimen Sibu dan mengekalkan Lanang serta Sarikei pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Menteri Muda Kesihatan Awam Dr Jerip Susil berkata, ini kerana operasi dan pergerakan parti di konstituensi tersebut diterajui oleh Dato Sri Wong Soon Koh.

“Ini kerana beliau lebih memahami isu dan keadaan politik setempat.

“Semua ini adalah berdasarkan kerjasama yang diarahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang mahukan apa sahaja perselisihan berbangkit daripada pergolakan pemilihan parti pada Disember tahun lepas diketepikan buat sementara waktu,” katanya yang dihubungi, semalam.

Wong yang juga dihubungi turut menyuarakan keyakinannya bahawa SUPP akan mengekalkan Lanang dan Sarikei serta merampas semula Sibu untuk Barisan Nasional (BN).

“Sudah tentu kita perlu mempertahankan kerusi Lanang serta Sarikei dan memenangi semula kerusi Sibu.

“Walaupun kita telah kehilangan kerusi Sibu semasa Pilihan Raya Kecil pada 2010 kepada DAP (Wong Ho Leng), kita perlu untuk memenanginya semula,” katanya yang dihubungi, semalam.

Lanang disandang oleh Datuk Tiong Thai Khing dan Sarikei disandang oleh Ding Kuong Hiing, masing-masing dari SUPP.

Manakala, SUPP Cawangan Sibu meletakkan harapan kepada Temenggung Vincent Lau untuk memenangi semula kerusi Sibu.

Wong, yang juga merupakan Pengerusi SUPP Cawangan Sibu berkata, kini semua sub-cawangan dan pusat khidmat di bawah SUPP Cawangan Sibu telah bekerja keras untuk membantu calon-calon pada PRU nanti.

“Organisasi kami adalah kuat… kita semua bekerja rapat untuk membantu calon,” kata Wong apabila diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden SUPP Datuk Seri Peter Chin semasa majlis Ulang Tahun SUPP ke-53, yang meletakkan harapan tinggi kepada Wong untuk memcapai kemenangan kepada parti.

Wong yang juga Menteri Kewangan Kedua merangkap Menteri Kerajaan Tempatan berkata, beliau akan mencuba yang terbaik untuk membantu parti pada PRU13 yang dijangkakan tidak lama lagi.

“Adalah menjadi kewajipan saya untuk membantu parti dan BN memenangi kerusi Parlimen yang diperuntukan kepada SUPP,” katanya.

No comments:

Post a Comment