May 31, 2012, Thursday
LIMBANG: Pakatan Rakyat (PR) sudah menyenaraikan beberapa isu utama yang bakal dikentengahkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti bagi memenangi hati rakyat di kawasan Parlimen Limbang.
Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Negeri (PKR) Baru Bian berkata antaranya termasuk isu perhubungan keluar dan masuk melalui Brunei, harga pasport, tambang pengangkutan dan caj transit yang disifatkan mahal, pembinaan jalan raya tanpa melalui Brunei serta isu lain.
Beliau berkata isu tempatan yang banyak diterima daripada masyarakat Limbang juga akan diitimbulkan membabitkan isu tanah tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di kawasan luar bandar dan bandar membabitkan masyarakat Kedayan dan Melayu, isu peniaga tempatan yang kurang pada MARA Uptown dan isu-isu lain.
“Kami menerima banyak maklum balas daripada penduduk Limbang yang mahu kami menyelesaikan isu-isu berkenaan sepanjang berada di Limbang untuk kempen dan program turun padang.
“Isu-isu ini akan diberi perhatian sewajarnya terutama pada PRU13 nanti untuk memenangi hati rakyat,” katanya.
Baru yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan turut mengesahkan minat untuk menduduki kerusi Parlimen Limbang atas tiket PR.
Baru menjelaskan, Limbang bukan daerah terasing bagi beliau kerana sebelum ini beliau pernah belajar di Limbang pada 1972 hingga 1976.
“Kami akan bekerjasama dengan parti komponen pembangkang lain termasuk Parti Tindakan Demokratik (DAP) untuk PRU13 kelak,” katanya.
Beliau memberitahu, sambutan daripada penduduk di kawasan luar bandar dan bandar amat positif dan mereka katanya juga terbuka dengan isu-isu tempatan.
“Mereka juga semakin faham dengan isu tanah, politik wang dan ugutan dalam politik yang berlaku di negara ini,” ujar beliau.
Katanya PR juga sudah mempunyai manifesto, program pilihan raya, buku jingga, agenda dan manifestasi 1suara melibatkan semua parti komponen di bawah PR.
Dalam pada itu katanya PR juga akan turun padang bagi mempromosikan manifesto mereka seperti yang terkandung dalam buku jingga.
“Risalah sudah diedarkan kepada masyarakat di sini dalam program sesi bertemu masyarakat di kawasan bandar semalam bagi menerangkan kepada mereka mengenai manifesto berkaitan semangat Perjanjian Malaysia 1963.
“PR berjanji membuat penilaian yang adil dan terbuka mengenai persoalan pokok yang menghalang kemajuan politik dan sosioekonomi di kedua-dua negeri di Malaysia Timur,” tambahnya.
Dalam pada itu beliau menjelaskan bahawa PR memberi jaminan untuk menurunkan royalti minyak sebanyak lima peratus dalam tempoh 24 jam jika mereka berjaya menubuhkan kerajaan pembangkang baharu pada PRU13 nanti.
No comments:
Post a Comment