Monday 18 June 2012

Mohd Shafie rasmi pecah tanah bina Dewan Masyarakat Kpg Muhibbah

KAPIT: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Dewan Masyarakat Kampung Muhibbah yang menelan belanja RM2 juta di sini, petang semalam.

Projek tersebut diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa lawatan singkat beliau ke Kapit, tahun lepas.

Sebelum itu, Mohd Shafie menghadiri Majlis Perasmian Tabika KEMAS di Kampung Muhibbah, dengan diiringi Timbalan Menteri KKLW Datuk Joseph Entulu Belaun, Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas Datuk Ambrose Blikau Enturan.

Ketika berucap pada Majlis Perasmian Tabika KEMAS Kampung Muhibbah, Mohd Shafie berkata, pendidikan merupakan pelaburan terbaik untuk menjamin kesenangan hidup di kemudian hari.

“Kerajaan bukan sekadar menitikberatkan pembangunan infrastruktur semata-mata, malah turut mementingkan pembangunan modal insan dalam kalangan generasi baharu. Kerajaan prihatin bagi memastikan anak-anak kita mencapai kecemerlangan dalam sektor pendidikan.

“Oleh itu, asas pendidikan di peringkat rendah adalah penting bagi memastikan mereka terus cemerlang di peringkat lebih tinggi. Malah, dalam tahun lepas, kita menyasarkan untuk menubuhkan 1,000 tabika KEMAS.

“Tapi, apa yang lebih membanggakan ialah kita dapat membina lebih daripada 1,000 tabika. Ini merupakan satu pencapaian kepada kita dalam menyediakan akses pendidikan kepada penduduk” katanya.

Selesai majlis tersebut, beliau bersama rombongan mengadakan tinjauan ke sekitar tapak cadangan pembinaan Jambatan Besi Kampung Baru/Kampung Muhibbah, di sini.

No comments:

Post a Comment