Friday, 1 June 2012

Jangan pertikai calon yang diputuskan untuk PRU13: Taib

June 1, 2012, Friday


PUSA: Rakyat Sarawak khususnya anggota parti komponen Barisan Nasional (BN) diminta tidak belot atau mempertikaikan calon yang diputuskan akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) tidak lama lagi.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata walaupun calon BN itu tidak memiliki paras rupa sekalipun, rakyat harus memberi sokongan kerana calon yang dipilih mempunyai kredibiliti tersendiri.

Sambil mengumumkan akan mengekalkan calon wanita bagi Parlimen Batang Lupar Datuk Rohani Abdul Karim, beliau berkata semua anggota parti komponen BN tidak seharusnya mempertikaikan calon yang ditentukan pemimpin atasan parti.

“Perasaan yang tidak sukakan calon yang bakal bertanding hanya kerana paras rupa atau perkara-perkara lain harus diketepikan.

“Ini kerana PRU13 ini adalah hak untuk menentukan siapa yang bakal memegang tampuk pemerintahan negara ini untuk tempoh lima tahun akan datang. Ia lebih penting,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena Bulan Pengguna Kebangsaan Peringkat Luar Bandar di pekarangan Stesen Bas Pusa, semalam.

Beliau berkata, rakyat perlu meletakkan tanggungjawab memimpin negeri ini kepada pihak yang berpengalaman luas memimpin negara.

Katanya, kerajaan BN adalah sebuah kerajaan yang yang ada strategi pembangunan tersusun serta terancang dan mampu mengimbangi setiap situasi yang berlaku sama ada di dalam negara mahupun luar negara.

“Buktinya… semasa berlaku masalah ekonomi terutama yang melibatkan krisis kenaikan harga minyak dunia, yang menyebabkan harga barangan melonjak naik, kerajaan menyediakan pelbagai pelan sampingan untuk menghadapi masalah berkenaan agar rakyat tidak berasa terlalu tertekan.

“Antaranya seperti pelancaran Kedai Rakyat 1Malaysia, pengaihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan awal persekolahan dan banyak lagi skim bantuan lain. Semuanya dilakukan untuk kebajikan dan kepentingan rakyat negara ini,” kata Taib.

Mengenai pembangunan di Parlimen Batang Lupar beliau berkata, kewujudan banyak ladang kelapa sawit di kawasan itu memberi banyak manfaat kepada penduduk sekitar kawasan itu.

“Buktinya ialah pembukaan ladang perindustrian yang berasaskan kelapa sawit berkembang pesat di Parlimen ini.

“Pembukaan ribuan hektar ladang kelapa sawit di Parlimen ini membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Usaha ini secara tidak langsung juga mampu melonjakkan sosioekonomi penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata perkembangan pesat aktiviti perladangan di kawasan itu menjadi perintis kepada pembukaan rangkaian jalan ke seluruh pelosok negeri ini dan ia sekali lagi memberi kemudahan asas terbaik kepada rakyat.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hajah Rohani Haji Abdul Karim, Menteri Muda Di Jabatan Ketua Menteri (Bahagian Hal-Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman, Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Datin Mahani Tan Abdulah dan isteri Taib iaitu Puan Sri Ragad Kurdi Taib.

No comments:

Post a Comment