Saturday 9 June 2012

Pemuda, Wanita PRS mahu Masir diganti

June 9, 2012, Saturday


KUCHING: Barisan Pemuda dan Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS) Balai Ringin menyeru pucuk kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan PRS untuk menggantikan Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat dengan calon baharu.

Menurut mereka, kenyataan Ketua Pemuda Alex Libau dan Ketua Wanita PRS Balai Ringin Lena Libau yang menyokong Masir adalah lebih bersifat kekeluargaan dan mementingkan diri.

“Kedua-dua beradik ini menyatakan mereka membuat kenyataan bagi pihak Pemuda dan Wanita kawasan Balai Ringin yang menyokong Masir, sedangkan semua ahli tidak dirujuk mengenai perkara ini terlebih dahulu,” kata mereka menerusi kenyataan akhbar, semalam.

Kenyataan yang ditandatangani tiga pemimpin Pemuda dan dua Wanita PRS Balai Ringin memberitahu, semasa Pilihan Raya Negeri lepas, kedua-dua mereka tidak aktif berkempen untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan Lawan.

“Bertentangan dengan kenyataan akhbar, majoriti ahli kami berasa tidak puas hati dengan aktiviti YB Masir dan pembantu khasnya, Abah Ugi terutama dalam pelaksanaan Projek Kecil Luar Bandar (MRP),” tegas meraka.

Kenyataan itu turut menyebut, dengan tersebar luas berita mengenai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Masir dan Abah, maka ia akan menimbulkan masalah untuk menjelaskan perkara itu kepada pengundi.

“Ia hanya akan memalukan BN untuk mencalonkan beliau (Masir) sekali lagi,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan akhbar itu turut ditandatangani oleh Pegawai Penerangan Pemuda PRS Balai Ringin Henry Rasit, Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda PRS Balai Ringin Jonathan Ain, Setiausaha Wanita Mary Saying, AJK Wanita Perry Achoi dan AJK Pemuda Zainal Metting Abdullah.

No comments:

Post a Comment