Sunday, 3 June 2012

Kemelut SPDP sepatutnya diselesai secara baik

Mahathir Haroun. June 3, 2012, Sunday

Ia bagi memastikan parti menyapu bersih keempat-empat kerusi yang diperuntukkan

BAU: Kemelut yang berlaku dalam Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) antara kepimpinan dan kumpulan G5 sepatutnya diselesaikan secara baik bagi memastikan parti berkenaan menyapu bersih keempat-empat kerusi yang diperuntukkan.

Kumpulan G5 dianggotai Ahli Parlimen Mas Gading Datuk Dr Tiki Lafe, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Peter Nansian Ngusie, ADUN Bekenu Rosey Yunus, ADUN Marudi Datuk Sylvester Entri dan ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang.

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Datuk Ahmad Maslan berkata, keutamaan sekarang adalah untuk memastikan BN menerusi parti-parti komponennya menang pilihan raya dan menyelesaikan segala krisis yang berlaku.

Menurutnya kepimpinan SPDP perlu bijak mencari formula bagi menyelesaikan masalah yang menghantui mereka.

“Kita sama-samalah berfikir dengan semangat Gawai dalam usaha mencari jalan penyelesaian terbaik demi kepentingan bersama,” katanya dalam sidang media selepas mengunjungi Bung Konis sempena Hari Gawai di sini, semalam.

Menurutnya, apa yang harus dilakukan sekarang adalah bersatu dan bukannya berlawan sesama sendiri.

“Mudah-mudahan dengan semangat Gawai semuanya akan berada dalam keadaan aman damai.

“Buang yang keruh ambil yang jernih… saya tidak mahu tuduh menuduh,” ujarnya.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menjelaskan, setiap kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya amat penting kepada BN untuk terus memberi khidmat kepada rakyat.

SPDP diperuntukkan empat kerusi Parlimen yang terdiri daripada Mas Gading, Saratok, Baram dan Bintulu.

No comments:

Post a Comment