Friday 8 June 2012

Garis panduan siar manifesto


Garis panduan siar manifesto 
Oleh Nazura Ngah dan Norakmah Mat Youb
bhnews@bharian.com.my
2012/06/08

PELATIH Giat MARA Ampang Jaya, Mohd Hasbullah Rasman, 22 , menggunting rambut  Muhyiddin pada pelancaran projek PUNCAK peringkat Parlimen Gombak di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melawati, semalam.
PELATIH Giat MARA Ampang Jaya, Mohd Hasbullah Rasman, 22 , menggunting rambut Muhyiddin pada pelancaran projek PUNCAK peringkat Parlimen Gombak di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melawati, semalam.
Kementerian Penerangan, SPR kaji kaedah terbaik supaya lebih adil

GOMBAK: Garis panduan akan diwujudkan bagi memperinci keputusan membenarkan semua parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) diberi peluang sama rata menjelaskan manifesto masing-masing menerusi semua badan penyiaran tempatan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata, kerajaan akan berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai bentuk garis panduan itu termasuk dari segi masa bagi memberi keadilan kepada semua parti.
Katanya, keputusan Kabinet itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira saranan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC), sekali gus membuktikan kerajaan bersikap telus dan terbuka.

“Perkara ini akan diperincikan Kementerian Penerangan dan kita akan bincang dengan SPR kaedah yang terbaik,” katanya pada sidang media selepas melancarkan projek Perkasa Usaha Untuk Cipta Kejayaan (PUNCAK) peringkat Parlimen Gombak, di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melawati, di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas tuntutan pemimpin pembangkang supaya kerajaan memberi jaminan mereka diberikan hak sama rata untuk mendapatkan akses media seperti parti pemerintah susulan keputusan Jemaah Menteri kelmarin yang membenarkan semua parti politik menjelaskan manifesto menerusi stesen televisyen tempatan.

Sementara itu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, garis panduan selepas pembubaran Dewan Rakyat itu akan digubal berdasarkan nilai murni di negara ini. 
Beliau berkata, ia juga bagi membolehkan semua parti politik memahami amalan dengan lebih mendalam yang boleh diterima pakai dalam dunia siaran dan hebahan radio.

"Semua parti politik yang ingin mengemukakan manifesto masing-masing masih terikat dengan peraturan ikatan sosial ditetapkan pihak berkuasa seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan stesen televisyen lain," katanya selepas melancarkan buku Penyerlahan Amalan Nilai-Nilai Murni 1Malaysia terbitan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di sini, semalam.

Rais berkata, pengisian berita juga akan dipantau bagi mengelak mana-mana pihak mendakwa bahawa stesen penyiaran kerajaan itu berlaku tidak adil.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas secara terperinci perkara itu dan akan menjelaskannya apabila tiba masa sesuai.

Terdahulu, Rais berkata, kini tiba masanya program menjurus kepada penerapan nilai positif dan menjaga keharmonian kaum di tanah air diperbanyakkan.

Pada majlis itu, Rais turut menyampaikan 11 Anugerah Penyerlahan Amalan Nilai-Nilai Murni kategori Kesetiaan kepada Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, jurukamera televisyen Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA) yang terbunuh ketika bertugas di Somalia, tahun lalu.

Selain itu, jurukamera stesen televisyen AlHijrah, Mohd Azri Mohd Salleh, 28, yang diserang ketika membantu pemandu kenderaan polis pada perhimpunan BERSIH 3.0 turut menerima Anugerah Penyerlahan Amalan Nilai-Nilai Murni kategori Sabar.

No comments:

Post a Comment