Sunday 24 June 2012

Masing nasihati penduduk Baleh jangan ulangi kesilapan Pelagus

KAPIT: Menteri Kemajuan Tanah, Tan Sri Dr James Jemut Masing mengingatkan penduduk di Baleh agar tidak mengulangi kesilapan sama yang dibuat oleh penduduk di N.54 Pelagus pada Pilihan Raya Negeri yang lepas.

“Kini, penduduk di Pelagus menderita kerana wakil rakyat (ADUN) mereka tidak dapat menunaikan apa yang telah dijanjikan pada pilihan raya lepas,” katanya.

Masing yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh berkata demikian semasa menyampaikan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang berjumlah RM502,000 kepada 79 buah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan beberapa persatuan di N.56 Baleh di Wisma Kerajaan Negeri, Jalan Bletih di sini kelmarin.

Pada Pilihan Raya Negeri yang lepas, calon Barisan Nasional (BN-PRS), Stanley Nyitar kalah kepada calon Bebas, George Lagong dengan majoriti lebih 3,000.

“Geran ini merupakan peruntukan daripada kerajaan BN, sebagai tanda penghargaan kepada penduduk di Baleh atas sokongan anda semua kepada BN. Penduduk di Baleh beruntung kerana mempunyai dua orang wakil rakyat dari BN, iaitu saya sendiri, dan Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Billy Abit Joo. Kami mempunyai peruntukan untuk penduduk di sini,” tegasnya.

Masing menambah, ada penduduk di N.54 Pelagus yang mengadu kerana tidak mendapat geran.

“Sebagai menteri, saya sedaya upaya untuk membantu. Namun, ini semua berlaku kerana mereka membuat kesilapan dalam memilih wakil semasa Pilihan Raya Negeri yang lepas. Wakil rakyat Bebas tidak mendapat sebarang peruntukan daripada kerajaan, malah setiap janji mereka semasa pilihan raya yang lepas juga masih tidak tertunai.

“Pilihlah calon BN pada pilihan raya yang akan datang. Di Sarawak, BN sekali lagi berjaya membentuk kerajaan, dan pada Pilihan Raya Umum nanti, BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak akan tetap memegang tampuk pemerintahan.

“Oleh itu, saya ingatkan penduduk agar terus bersama kerajaan BN dan jangan mudah terpedaya dengan sebarang janji pembangkang,” katanya.

No comments:

Post a Comment