Friday, 15 June 2012

Kekalkan BN di Putrajaya



GEMBIRA: Najib memakai topi pahlawan Orang Ulu sambil diperhatikan 
penghulu-penghulu ketika menerima kunjungan ketua-ketua masyarakat
dari Telang Usan Baram, Sarawak pada majlis makan tengah hari 
bersama ketua masyarakat itu di Seri Perdana, semalam. Turut sama 
Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan). — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Hanya dalam tempoh tiga tahun pelbagai kemudahan dan pembangunan dinikmati penduduk Sarawak khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dalam tempoh itu, untuk Sarawak sahaja, kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan tambahan RM2.3 bilion.

“Dalam tiga tahun apa yang kita telah lakukan, cuba bayangkan kalau kita ada lima tahun lagi, apa yang kita boleh buat…sebab itu penting untuk kita pertahankan Putrajaya terus kekal dalam tangan Barisan Nasional,” katanya semasa jamuan tengah hari selepas menerima kunjungan ketua-ketua masyarakat dari Telang Usan Baram, Sarawak dan jamuan tengah hari bersama mereka di Seri Perdana di sini, semalam.

Najib berkata memang menjadi hasrat kerajaan untuk melakukan lebih banyak lagi pada masa akan datang dan apa yang dibuat sehingga kini sekadar permulaan sahaja.

Beliau berkata dengan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan bantuan tambahan lain, ia telah dapat mengubah keadaan hidup masyarakat luar bandar dan memberikan masyarakat itu merasai nikmat pembangunan.

Malahan Najib berkata sejak menjadi Perdana Menteri, beliau telah melawat ke Sara-wak lebih 50 kali dan hampir seluruh pelosok negeri itu dilawatinya dan ia adalah bukti kesungguhan kerajaan.

“Disebabkan struktur muka bumi Sarawak, banyak penduduk tinggal di kawasan pedalaman jadi keperluan seperti jalan perhubungan, jambatan, kemudahan asas, bekalan air bersih, bekalan elektrik, sekolah, klinik dan kemudahan lain amat penting,” katanya.

Beliau berkata kerana itu konsep strategi lautan biru digunakan bertujuan untuk membolehkan pembangunan dibuat sebanyak mungkin dengan perbelanjaan yang minimum.

Misalnya, Najib berkata pembangunan jalan raya Long Lopeng ke Ba’Kelalan sepanjang 73 kilometer dengan sembilan jambatan ‘bailey’ sepatutnya memerlukan kos RM300 juta tetapi melalui konsep Jiwa Murni ia hanya menelan kos RM52 juta.

“Dalam masa yang sama kita sudah bekalkan 41,000 keping zink melebihi RM15 juta dan 2,162 tangki air bernilai RM5.7 juta dan untuk per-khidmatan kesihatan dan juga pergigian kita telah mewujudkan sistem klinik bergerak,” katanya.

Itulah gambaran apa yang telah dilakukan kerajaan termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan sebagainya, ia telah sampai menyusur ke akar umbi dan hingga ke rumah-rumah panjang, katanya. — Bernama

No comments:

Post a Comment