Monday 4 June 2012

Najib mahu berhubung terus dengan akar umbi

Andy Sabang dan Khairoul Hussen. June 4, 2012, Monday

Untuk pastikan mesej mengenai transformasi direncanakannya berkesan, bawa manfaat kepada rakyat

JULAU: Keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyertai sambutan Hari Gawai dalam suasana berlainan kali ini adalah semata-mata untuk berhubung terus dengan masyarakat di peringkat akar umbi.

Katanya, keputusan itu dibuat untuk memastikan setiap mesej mengenai transformasi yang direncanakan beliau berkesan dan membawa manfaat kepada rakyat.

“Kalau sambutan seumpama itu diadakan dalam majlis formal, saya merasakan hanya golongan tertentu sahaja yang dapat menghadirinya.

“Tetapi kalau ia dibuat sebegini, semua rakyat dapat berhubung terus dengan saya… bukan setakat berjabat tangan sahaja malah rakyat juga boleh meluah terus permasalahan mereka,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena kunjungan beliau ke Rumah Jana Sawing sempena sambutan Hari Gawai Dayak semalam.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan menteri-menteri kerajaan negeri.

Menurut Najib beliau merupakan Perdana Menteri untuk semua dan kerajaan mengambil berat hal ehwal semua rakyat Malaysia.

Najib berkata, beliau perlu mempraktikkan keinginannya menjadi Perdana Menteri bagi semua dengan membuktikan bahawa ia bukan semata-mata satu kenyataan politik atau retorik.

Katanya, rakyat juga harus memberi sokongan padu, bagi memastikan pembangunan negara amnya berkesinambungan.

“Apa yang dinikmati rakyat ketika ini adalah hasil usaha keras kerajaan Barisan Nasional (BN) dan ia sukar ditandingi oleh mana-mana parti lain,” katanya.

Bercakap lanjut, Najib turut berjanji akan meneliti jenis bantuan yang diperlukan oleh masyarakat Julau.

Jelas beliau, perkara seumpama itu perlu diberi perhatian kerana ia adalah keperluan rakyat dan bukannya menandakan Pilihan Raya Umum (PRU) semakin dekat.

“Mana-mana lawatan saya sebelum ini, saya sentiasa berusaha membantu setakat yang mampu agar beban rakyat di negeri ini khususnya dapat diringankan,” katanya.

No comments:

Post a Comment