Sunday, 10 June 2012

Perjuangan adil dan saksama

by Mastura Ismail. 

Dasar kerajaan BN pastikan semua kaum dapat menikmati pembangunan: Taib



PESTA UNIK: Taib memukul gong untuk merasmikan Pesta Babulang dan Lumba Kerbau Bisaya di Limbang, semalam. Turut kelihatan Ragad (dua kanan) dan (dari kiri) Lawson, Awang Tengah, Jabu, Henry, Dr Abdul Rahman, Hasbi dan Paulus.

LIMBANG: Dasar perjuangan Barisan Nasional (BN) dari dahulu hingga sekarang membuktikan tiada satu pun kaum yang dipinggirkan daripada arus pembangunan.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, konsep perjuangan BN adalah adil dan saksama untuk semua kaum dan ia merupakan perjuangan paling besar yang dilakukan sejak merdeka lagi.

Beliau turut membandingkan kebanyakan negara yang telah lama merdeka, tetapi masih dibelenggu masalah perkauman dan pergolakan sehingga menyukarkan rakyat menikmati pelbagai kemajuan.

“Perjuangan paling besar BN sejak menubuhkan kerajaan dari dahulu hingga sekarang adalah menyatupadukan rakyat dan tiada satu kaum yang dipinggirkan dari arus pembangunan.

“Tiada perjuangan lain yang lebih besar daripada melihat rakyat hidup dalam keadaan harmoni dan mengecapi kemajuan,” katanya pada Majlis Perasmian Pesta Babulang dan Lumba Kerbau Bisaya di sini, petang semalam.

Hadir sama isteri Taib, Puan Sri Ragad Kurdi Taib; Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Muda Kebajikan Robert Lawson Chuat, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agung, ADUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan jemputan lain.

Taib berkata, kerajaan bekerja untuk memikirkan keperluan rakyat dan cara untuk memajukan mereka dengan menolak amalan caci-mencaci dan cerita dongeng.

“Berdasarkan perjuangan ini, kita dapat meyakinkan rakyat agar mereka mengenang perjuangan kerajaan.

“Ini termasuk perjuangan yang jujur untuk pembangunan dan perpaduan kerana rakyat masih lagi memerlukan banyak kemajuan untuk dilaksanakan di bandar dan luar bandar,” jelasnya.

Pembangunan, katanya, kini turut dirasai masyarakat minoriti seperti kaum Bisaya yang mencecah lebih kurang 10,000 orang di negeri ini dari aspek pembangunan infrastruktur, jalan raya, pendidikan dan kemajuan lain.

“Malah, ramai kaum Bisaya yang kini memegang jawatan tertinggi di peringkat pentadbiran kerajaan negeri kerana kita ingin menonjolkan keupayaan masyarakat Bisaya,” tambahnya.

Kata Taib lagi, kekuatan Sarawak adalah terletak dalam kepelbagaian budaya, adat resam dan latar belakang berbeza hampir 36 suku kaum yang mendiami negeri ini.

“Politik pembangunan yang diamalkan kerajaan negeri bukan hanya memfokuskan kepada kekuatan ekonomi ,malah turut mengekalkan semangat bersatu padu dalam kalangan rakyatnya,” kata beliau.

Beliau menjelaskan tiada satu kaum pun yang boleh menubuhkan kerajaan secara bersendirian melainkan dengan gandingan bersama kaum-kaum lain.

“Adalah penting sekali golongan kecil ini untuk mengekalkan kekuatan melalui semangat perpaduan dan bersatu padu yang dipupuk secara bersama,” katanya.

Taib juga mahu Pesta Babulang yang menjadi simbol dan identiti budaya kaum Bisaya diadakan secara berterusan bagi memperkenal dan memelihara keunikan budaya mereka.

“Saya percaya melalui pesta sebegini, kita akan mengenali cara hidup dan acara kebudayaan yang unik dalam masyarakat Bisaya.

“Selain itu, ia dapat membantu mengekalkan adat tradisi yang positif demi identiti kaum Bisaya itu sendiri,” katanya.

No comments:

Post a Comment