Wednesday, 6 June 2012

PRU13 ujian besar bagi SUPP: Chin

Posted on June 6, 2012, Wednesday


KUCHING: Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini akan menguji SUPP sama ada mereka dapat mengatasi cabaran dan menawan semula kerusi Parlimen yang dimenangi pembangkang.

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Peter Chin berkata, orang ramai masih menyertai parti sejak kekalahan pada PRU 2006 dan kekalahan lebih besar pada Pilihan Raya Negeri tahun lepas.

Tambah beliau, berbanding 19 kerusi pada masa lalu, parti itu kini hanya tinggal tiga kerusi sahaja dan ahli parti sudah tentulah rasa agak kecewa.

“Kita harus serius menerima pengundi yang menyampaikan mesej kepada kita, serius mengkaji kelemahan dasar dan pentadbiran dan tidak ketinggalan daripada membawa pembaharuan,” katanya.

Beliau menegaskan, sebab kenapa ahli parti bersuara adalah kerana mereka menyayangi parti dan tidak mahu melihat SUPP menjadi lemah.

Maka itu, katanya, mereka perlu bertindak untuk memperbaharui parti dan melaksanakan langkah untuk menguatkan parti.

“Pembaharuan ini tidak ada kaitan dengan gila kuasa atau pangkat tetapi demi menjaga kepentingan parti dan memastikan parti dibina dengan lebih baik supaya parti yang besar dengan jumlah ahli yang ramai dapat memberi perkhidmatan,” katanya semasa menghadiri Majlis Ulang Tahun Ke-53 SUPP di sini, semalam.

Chin berkata, perkara utama ialah ahli parti mahu mengakui kesilapan dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memperbaharui parti.

“Orang menyertai parti sejak 53 tahun dan ramai yang memberikan sumbangan kepada rakyat.

“Justeru, kita mesti meningkatkan usaha atau memberikan sumbangan dan menjelaskan inisiatif pembaharuan kepada rakyat.

“Selain itu, setelah 53 tahun menyumbang bakti, kenapakah kita masih sangat takut dan segan.

“Sebaliknya, Pakatan Rakyat menghadapi masalah dengan dasar mereka dan tidak ada rekod kejayaan termasuk dalam pendidikan… Pernahkah mereka melakukan apa-apa?” katanya.

Beliau berkata, rekod SUPP dapat dilihat sendiri oleh rakyat, maka mereka tidak ada sebab untuk berasa takut.

Menurutnya, bukan semuanya yang dilakukan oleh SUPP adalah betul, tetapi orang yang menyertai parti itu akan menyemak semula bagi memperbetulkan kesilapan dan melakukan pembaharuan.

Selain itu, Chin juga berkata dalam keadaan sekarang, SUPP memerlukan lebih banyak sokongan dan bantuan daripada ahli parti khususnya ahli Bumiputera.

“SUPP tewas pada pilihan raya khususnya kerana ketidakstabilan politik dan bukan kerana ahli parti lemah,” katanya.

Justeru, beliau berharap ahli Bumiputera terus memberi keyakinan kepada rakyat supaya menyertai parti itu dan memberikan sokongan bagi meneruskan perjuangan.

No comments:

Post a Comment