Monday, 4 June 2012

Sarawak harus terus jadi kubu kuat BN

Sandy Mark Luna. June 4, 2012, Monday


SELAMAT HARI JADI: Najib bersalaman dengan Taib sebagai tanda ucapan selamat hari jadi yang ke-76 pada majlis Ngabang Gawai 2012 yang berlangsung di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong semalam. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

Projek bernilai RM2.3 bilion dilaksana di negeri ini di bawah kepimpinan Najib



BETONG: Sarawak harus terus menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri akan datang bagi memastikan kesinambungan pembangunan pesat di negeri ini.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud memberitahu, pelbagai projek bernilai RM2.3 bilion dilaksanakan di Sarawak di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sejak 2009.

“Sebagai tanda penghargaan, kita perlu mengundi (Barisan Nasional) bagi memastikan beliau kekal menjadi Perdana Menteri.

“Ini bagi membolehkan beliau dapat terus membantu Sabah dan Sarawak menuju ke arah pembangunan lebih pesat dan mencapai status negeri berpendapatan tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sambutan Ngabang Gawai Dayak 2012 di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, di sini, semalam.

Taib turut memberitahu, sehingga kini sebanyak 73 peratus projek berjaya disiapkan manakala selebihnya dalam proses penyiapan.

“Boleh dikatakan, Najib akan berusaha sedaya upaya untuk memenuhi keperluan rakyat Sarawak, khasnya dari segi infrastruktur asas di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang menyifatkan Najib mewarisi kebolehan bapanya yang juga bekas Perdana Menteri Tun Razak.

“Najib adalah seperti bapanya, seorang Perdana Menteri yang berkebolehan dan akan mentransformasikan negara kepada negara membangun sepenuhnya, maju dan berdaya saing untuk mencapai visi.

“Sarawak, yang memberi sokongan penuh kepada BN akan terus berusaha gigih dan bekerjasama untuk melawan pembangkang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengiktiraf sumbangan Ketua Menteri yang membawa kestabilan politik di negeri ini dan di peringkat persekutuan.

“Kita mahu semua projek yang sedang dilaksanakan terus berjaya agar dapat memberi manfaat kepada rakyat.

“Sumbangan Taib untuk kekuatan kolektif BN adalah sangat penting untuk memastikan pembangunan berterusan,” katanya.

No comments:

Post a Comment