Tuesday 5 June 2012

Ahli SUPP harus terus setia: Ling

Ambrose Rirang. June 5, 2012, Tuesday

Ia untuk pastikan SUPP kukuh sebagaimana parti komponen BN lain

BINTULU: Setiap ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dinasihati agar terus setia di bawah kepimpinan parti bagi memastikan SUPP terus berdiri kukuh sebagaimana parti komponen Barisan Nasional (BN) lain di negeri ini.

Pengerusi SUPP Cawangan Bintulu Henry Ling Kuong Meng ketika menasihati demikian, berkata walaupun timbul beberapa krisis dalam parti, ia bukan penghalang besar untuk setiap ahli terus bekerjasama dan menjalin hubungan erat sesama sendiri.

“Bagi tujuan itu, saya menggesa setiap ahli parti agar menghayati dan mengenang semula jasa pemimpin terdahulu dalam SUPP yang telah bersungguh-sungguh memperjuangkan agenda serta matlamat parti yang membolehkannya terus kukuh berdiri sehingga kini,” ujarnya.

Beliau berucap demikian semasa merasmikan upacara menaikkan bendera sempena sambutan Ulang Tahun Ke-53 SUPP di Rumah Bangau Dasa, Kilometer 35 Jalan Bintulu-Miri di sini semalam.

Jelasnya, upacara memperingati 53 tahun SUPP ditubuhkan secara tidak langsung membolehkan ahli-ahli parti menghayati semula perjuangan pemimpin terdahulu seperti bekas Presiden Tan Sri Ong Kee Hui (1959-1982), mendiang Tan Sri Datuk Amar Stephen Yong (1983-1990) dan Datuk Patinggi Tan Sri Dr Wong Soon Kai (1991-1996).

“Nama-nama penting yang saya nyatakan tadi merupakan presiden terdahulu yang banyak menyumbang jasa dalam memartabatkan SUPP sebagai parti komponen BN yang memperjuangkan nasib semua kaum di negeri ini.

“Inilah agenda perjuangan yang ingin kita teruskan iaitu menyatukan semua ahli parti yang datang daripada pelbagai kaum dan latar belakang berbeza,” tegasnya.

Sebaik-baiknya jelas Henry, semua ahli parti harus melihat kembali sejarah kegemilangan SUPP serta mempelajari corak perjuangan pemimpin terdahulu dalam menyatukan ahli sekali gus memperbaiki kelemahan sedia ada bagi memastikan jentera parti terus kukuh.

Dalam ucapannya beliau turut menasihati semua ahli parti agar terus komited dan bekerjasama dalam memberi khidmat bagi memulihkan semula keyakinan rakyat terhadap kepimpinan SUPP yang sememangnya benar-benar ikhlas dalam setiap agenda perjuangan mereka.

“Saya secara peribadi melihat SUPP sebagai sebuah parti yang mempunyai masa depan cerah dengan dianggotai oleh ahli-ahli muda yang berkaliber serta mempunyai latar belakang pendidikan yang baik,” jelasnya.

Justeru, Henry melihat melalui kombinasi ahli veteran yang berpengalaman dan ahli muda yang berpendidikan tinggi akan membolehkan SUPP bangkit semula bagi memberi khidmat terbaik buat rakyat seterusnya memperkasakan jentera perjuangan parti secara keseluruhannya.

Turut hadir Setiusaha Cawangan Chin Chee Fui, Bendahari Cawangan Philip Tang Ing Soon, Penolong Setiausaha Cawangan Joini Zaini dan Tuai Rumah Bangau Dasa.

No comments:

Post a Comment