KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri mahu kerajaan lebih serius dalam usahanya menurunkan harga bahan api di negara ini.
Pengerusinya, Baru Bian berkata, keikhlasan kerajaan berbuat demikian masih kurang jelas kerana rakyat sudah tentu akan membuat kesimpulan bahawa keputusan itu hanyalah gimik politik disebabkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) bakal diadakan pada bila-bila masa sahaja.
Apapun, katanya, PKR Negeri menyambut baik keputusan kerajaan menurunkan harga jualan runcit petrol RON97 sebanyak 10 sen seliter berkuat kuasa semalam.
“Kerajaan mesti kelihatan lebih serius menurunkan harga petroleum. Setakat ini kita tidak melihat begitu (kerajaan cukup serius berbuat demikian). Apapun, masa akan memberitahu kita sama ada ini usaha ikhlas kerajaan menurunkan harga petroleum,” ujarnya.
Baru yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’ Kelalan berkata, ironinya Malaysia merupakan pengeluar petroleum tetapi rakyat masih perlu membayar harga tinggi untuk bahan api itu.
Sementara itu, Naib Pengerusi PKR Pusat, See Chee How berkata, keputusan kerajaan itu adalah maklum balas daripada penurunan harga bahan api global.
”Kerajaan sebelum ini meng-adaptasi kadar harga secara apung tetapi kerajaan dengan cepat menaikkan harga petroleum dan perlahan menurunkannya.
“Dalam kes ini, ia (penurunan harga) seharusnya dilakukan 10 hari lalu… Ini adalah kemenangan kepada orang yang selama ini begitu vokal dalam menyokong penurunan harga petroleum,” katanya.
ADUN Batu Lintang itu juga berkata, perkara yang lebih membimbangkan ialah peningkatan kos cara hidup rakyat di negara ini ekoran kenaikan berterusan harga barangan keperluan.
“Kerajaan pusat telah gagal dalam menyelesaikan isu ini (ke-naikan harga barangan keperluan),” katanya.
Dalam satu kenyataan kelmarin Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata penurunan itu berikutan harga purata minyak di pasaran bagi Mei 2012 menurun.
Pengumuman itu menyaksikan harga RON97 ialah RM2.80 berkuat kuasa semalam.
Katanya, harga jualan runcit petrol RON97 pada dasarnya ditetapkan secara apung diurus dengan harga bulanan akan diubah mengikut harga pasaran.
Pengumuman itu menyaksikan harga RON97 ialah RM2.80 berkuat kuasa semalam.
No comments:
Post a Comment