June 1, 2012, Friday
KUCHING: Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU), William Ghani Bina meletak jawatan sebagai Naib Presiden Kanan Kedua Parti Pekerja Sarawak (SWP) berkuat kuasa serta-merta.
William berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada pemimpin SWP khas buat Presidennya Larry Sng atas keyakinan mereka me-lantik beliau ke jawatan berkenaan baru-baru ini.
Bagaimanapun katanya, beliau tidak dapat menerima jawatan itu kerana masih memberi fokus terhadap kerjayanya sebagai guru (pendidik).
“Saya belum bersara… dan masih berkhidmat dalam perkhidmatan awam (pendidikan) dalam tempoh selama dua tahun lagi.
“Justeru, saya belum bersedia untuk memegang jawatan dalam parti-parti politik buat masa ini,” katanya pada sidang media di Pejabat STU, Jalan Song di sini semalam.
Hadir sama Timbalan Presiden STU Jisin Nyud, Naib Presiden (Wanita) Datin Diana Tay, Setiausaha Agung STU Thomas Huo serta barisan exco STU.
William menarik perhatian bahawa pada 29 Mei lalu, pengarah Kesatuan Sekerja menghubunginya dan meminta beliau tidak memegang sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik.
Oleh itu katanya, beliau terpaksa mengumumkan untuk melepaskan jawatan dalam parti berkuat kuasa serta-merta.
“Saya merakamkan terima kasih kepada SWP dan berharap mereka semua berada dalam kedudukan yang terbaik,” katanya dalam sidang media ringkas.
William dipilih sebagai Naib Presiden Kanan Kedua SWP pada mesyuarat agung pertama parti baharu itu di Sibu, Isnin lalu.
Bagaimanapun, William menegaskan pelantikan beliau adalah di luar pengetahuannya kerana beliau tidak menghadiri mesyuarat agung pertama parti itu.
Ditanya sama ada beliau akan menyertai parti-parti politik selepas bersara nanti, William berkata: “Saya akan mempertimbang hasrat mereka (parti) jika mereka benar-benar memerlukan khidmat saya.”
William menjelaskan bahawa buat masa ini beliau tidak terfikir menyertai mana-mana parti politik kerana masih memberi komitmen terhadap mendidik anak bangsa.
“Saya tidak dapat memberi fokus dalam banyak bidang dalam satu masa.
“Justeru, biarlah buat masa ini saya memfokuskan bidang pendidikan dan kesatuan (STU),” katanya.
Selain William, turut dipilih menerajui SWP ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus George Lagong yang memegang jawatan Timbalan Presiden.
Manakala Naib Presiden Kanan Satu ialah Josephine Randan Mawat serta ahli Majlis Tertinggi terdiri daripada pensyarah sambilan, Ellison Ludan dan bekas pegawai kanan polis, Jonathan Jalin.
No comments:
Post a Comment