Wednesday, 6 June 2012

DAP, PKR senada dengan PAS


Ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat mahu mengambil alih Kerajaan Pusat secara aman.

PETALING JAYA: Para pemimpin DAP dan PKR senada dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) secara aman.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP Dr Tan Seng Giaw menekankan peri pentingnya perjuangan politik secara aman.

“Perjuangan politik secara aman adalah satu-satunya strategi dan falsafah yang perlu didokong untuk membawa perubahan.

“Kita tidak boleh sama sekali menggunakan kaedah ganas untuk perubahan politik,” kata Dr Tan yang juga merupakan ahli parlimen Kepong dan menambah, kaedah keganasan hanya akan berakhir dengan keganasan.

Beliau berkata sedemikian ketika mengulas amanat terbaru Hadi yang mengingatkan penyokong Pakatan Rakyat supaya menjatuhkan kerajaan BN secara bersopan santun.

Sopan santun

“Kita rakyat Malaysia berslogankan sopan santun. Naik turun pemimpinnya juga mesti melalui sopan santun, bukan dengan cara memalukan,” kata Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang.

Walau bagaimanapun, Dr Tan turut memberikan satu peringatan khas kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memastikan keamanan berterusan dan dapat dikekalkan.

“SPR juga harus pastikan bahawa senarai pengundi adalah bersih dan prosedur pengundian adalah telus,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi amaran bahawa sesiapa yang mencetuskan huru-hara ketika dan selepas pilihanraya akan didakwa.

Demokrasi sihat 

Sementara itu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar merasakan bahawa kenyataan Hadi dibuat tepat pada masanya.

“Saranan presiden PAS tepat kerana BN nampak bersedia mempertahankan Putrajaya dengan apa cara sekalipun,” kata Nurul yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Beliau turut mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengutuk budaya politik samseng yang berlaku ketika ceramah PKR di Lembah Pantai pada 24 Mei lalu.

“Saya juga telah menjemput Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin untuk mengeluarkan kenyataan bersama dan memulakan budaya demokrasi sihat dengan berdebat,” kata Nurul.

Bagaimanapun, menurut beliau jemputan berdebatnya ditolak dan Umno juga tidak hadir ketika hari penyerahan memorandum kepada Suhakam.

No comments:

Post a Comment