Monday 25 June 2012

BN sentiasa bantu rakyat

by Agnes Tugong. 


KUCHING: Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan sentiasa membantu rakyat tanpa mengira pada waktu pilihan raya atau sebaliknya.

Jaminan tersebut dinyatakan sendiri oleh Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Pending Prof Dr Sim Kui Hian ketika berucap pada Majlis Ngiling Tikai di Balai Raya Kampung Sungai Apong Baru di sini malam Sabtu lepas.

Menurut Dr Sim, tidak seperti pembangkang, BN katanya pasti mengotakan janji-janji kepada rakyat sejajar dengan konsep 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

“Daripada pihak BN, kami boleh memberi jaminan bahawa kerajaan akan sentiasa berkhidmat untuk rakyat tidak hanya pada waktu pilihan raya.

“Tidak seperti pembangkang, mereka berkhidmat kepada rakyat hanya melalui akhbar-akhbar sahaja tetapi tidak mampu berbuat apa-apa untuk rakyat,” katanya.

Dalam ucapannya, Setiausaha Agung SUPP ini turut mengambil Kampung Sungai Apong Baru sebagai contoh salah satu daripada kawasan yang banyak menikmati perubahan hasil bantuan kerajaan BN.

Katanya meskipun tidak sempurna sepenuhnya namun kampung ini menunjukkan perubahan secara berperingkat-peringkat.

Menariknya lagi kampung ini menurut Dr Sim meskipun terletak di dalam bandar, namun penduduknya masih mengekalkan seni warisan budaya yang mana kebanyakan daripada mereka adalah masyarakat Iban.

Justeru, beliau mengingatkan penduduk di bawah Parlimen Bandar Kuching agar menyokong calon BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi memastikan pembangunan berterusan.

Majlis itu adalah anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarawak bersama SUPP Cawangan Pending.

Pelbagai acara diadakan pada malam tersebut antaranya Pertandingan Kumang Iban dan Bidayuh, Pertandingan Anyaman Bunga, Pertandingan Kumang Engkratum dan Pertandingan Karaoke.

Turut hadir Pegawai JASA Lai Huat Choi, Ketua Pemuda SUPP Kaunselor Tan Kai, Ketua Kaum Jeffery Kemping, Temenggung Datuk Kanang Langkau dan lain-lain.

No comments:

Post a Comment