Saturday 30 June 2012

BN yakin menang PRU-13


Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA dan HUSSAINI AMRAN

Najib Tun Razak bersama Muhyiddin Yassin sebelum memulakan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Menara Datuk Onn, PWTC, Kuala Lumpur, malam tadi.


KUALA LUMPUR 29 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan keputusan beliau masih berteka-teki mengenai tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 tiada kaitan dengan persoalan tidak yakin Barisan Nasional (BN) akan menang sebaliknya ia demi menghormati mandat selama lima tahun yang diberi rakyat kepada Kerajaan Pusat.

Perdana Menteri berkata, dakwaan pembangkang kononnya beliau tidak yakin adalah tuduhan tidak berasas kerana ketika ini tahap sokongan rakyat terhadap BN semakin meningkat dan ia terbukti melalui sambutan diberi orang ramai dalam setiap program mahu pun lawatan.

Jelas beliau, walaupun mendapat sokongan padu, BN tidak mahu bersikap takbur seperti pembangkang sebaliknya mahu menggunakan baki mandat yang ada untuk berkhidmat dan terus membela rakyat melalui pelbagai program yang telah dan bakal diadakan.

"Itu kata pembangkang, bila kita dipilih rakyat untuk tempoh lima tahun, ia amat penting untuk lihat kemampuan BN mentadbir, bangunkan negara dan bela nasib rakyat. Jadi kalau kita buat pilihan raya terlalu awal, kita pendekkan tempoh lima tahun yang diberi rakyat.

"Tak timbul langsung soal tidak yakin kerana keyakinan kita bersandarkan sambutan rakyat pada setiap lawatan, program, produk baru serta pembaharuan yang diperkenalkan, penerimaan rakyat semakin meningkat," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN, di sini malam ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Ditanya apakah beliau yakin jika pilihan raya umum diadakan sekarang BN akan memperoleh kemenangan, Najib yang juga Pengerusi BN berkata, pihaknya tidak mahu takbur tetapi yakin rakyat akan membuat pilihan tepat berasaskan rekod perkhidmatan, segala janji ditepati serta pembaharuan yang dilakukan kerajaan.

Terdahulu, beliau berkata, sokongan rakyat terhadap lawatan beliau dan Muhyiddin ke seluruh negara sangat memberangsangkan sekali gus memberi petunjuk bahawa keyakinan orang ramai terhadap BN juga semakin kuat dan kukuh.

Sehubungan itu beliau memberi jaminan lebih banyak program mesra rakyat seperti Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) akan diadakan.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata, semua ahli BN diingatkan agar jangan menimbulkan sebarangan kenyataan yang menyentuh sensitiviti mana-mana kaum atau menjejaskan hubungan antara komponen parti.

No comments:

Post a Comment