Tuesday 19 June 2012

RM95.7 juta untuk getah

by Nick Fletcher.



KLON TERBAIK: Shafie (kiri) menyampaikan klon getah terbaik di dunia – Siri 2000 kepada salah seorang pekebun getah sambil disaksikan oleh Ali (dua kiri), Harden (dua kanan) dan Wahab (kanan). — Gambar Muhammad Rais Sanusi

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM95.7 juta untuk melaksanakan program pembangunan tanaman getah di Sarawak selain memperkenalkan klon getah terbaik di dunia – Siri 2000 untuk tanaman semula.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata ia merupakan usaha kerajaan untuk menggalakkan lagi keupayaan masyarakat pekebun yang tidak memiliki sumber kewangan mendapatkan benih getah, bantuan baja, racun dan sebagainya.

“RM13,000 diperuntukkan bagi setiap satu hektar di Sarawak berbanding di Semenanjung (Malaysia) yang hanya RM9,200.

“Ini merupakan satu usaha yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan seluruh kawasan pedalaman di Sarawak juga mendapat bantuan benih getah secara percuma.

“Saya yakin ini akan dapat meningkatkan lagi keupayaan negara kita dalam pengeluaran getah asli,” katanya sambil menambah klon getah Siri 2000 mempunyai produktiviti sebanyak 2,000 kilogram bagi keluasan sehektar setahun. Beliau menyatakan demikian dalam sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran Program Kasihi Pekebun dan Penyampaian Benih Peringkat Sarawak, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di sini, semalam.

Menurut Shafie, bantuan berkenaan juga dijangka memberi manfaat kepada seramai 25,000 pekebun getah di negeri ini dengan melibatkan tanah seluas 30,000 hektar.

Bagi seluruh negara, Shafie berkata kerajaan telah memperuntukkan sebanyak lebih RM300 juta untuk tanam semula dan bantuan benih getah.

Katanya langkah tersebut adalah untuk membela masyarakat pekebun getah di seluruh negara di samping meletakkan Malaysia sebagai pengeluar getah terbesar di dunia.

Tambah beliau, ia juga untuk menarik penglibatan generasi muda dalam penanaman getah bagi mengelakkan negara daripada ketandusan tenaga pertanian.

“Kita mahu meletakkan Malaysia sebagai pengeluar getah terbesar di dunia dan memastikan ia merupakan antara sumber yang stabil untuk meningkatkan pendapatan negara.

“Di samping itu, ia juga bagi melibatkan masyarakat luar bandar berkecimpung dalam kegiatan ekonomi,” katanya.

Shafie menambah, penekanan kerajaan terhadap tanaman getah adalah kerana pasaran dan permintaannya yang stabil.

Sempena majlis, Shafie telah menyampaikan peruntukan Program Pembangunan RISDA Sarawak bagi tahun 2012 berjumlah RM95.7 juta, peruntukan Projek Agropolitan RASCOM Nanga Sekuau, Sibu berjumlah RM14.57 juta, peruntukan Projek Agropolitan Gunung Sadok, Ulu Awik, Betong berjumlah RM7.97 juta, peruntukan Program Tanam Semula Sarawak bagi tahun 2012 berjumlah RM67.5 juta dan peruntukan Program Latihan dan Pemindahan Teknologi berjumlah RM615,800.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Joseph Entulu Belaun, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Yussof Dohab, ADUN Muara Tuang Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud, Menteri Muda Kemajuan Tanah Datuk Abdul Wahab Aziz, Menteri Muda Pertanian (Penyelidikan dan Pemasaran) Datuk Mong Dagang, Menteri Muda Kemajuan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis dan Ketua Pengarah RISDA Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad.

No comments:

Post a Comment