Monday 25 June 2012

SWP ada hala tuju nyata, berkomitmen, berwawasan besar

KAPIT: Ahli Majlis Tertinggi Parti Pekerja Sarawak (SWP) Dickson George menjelaskan bahawa SWP merupakan sebuah parti yang mempunyai hala tuju yang nyata, berkomitmen serta berwawasan besar untuk bekerja bersama rakyat.

“Kami akan sentiasa bekerja dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,dan bukan sekadar berjanji tetapi juga berusaha menyampaikan yang terbaik kepada rakyat yang memerlukan,” tegasnya.

Beliau yang berkelulusan Kejuruteraan Awam dari England, kini menyandang jawatan sebagai pengurus projek di syarikat IEV Engineering Sdn Bhd, Dataran Hamodal, Blok B, Level 2, No 4 Jalan Bersatu, Petaling Jaya, Selangor.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi taklimat ringkas bersama ahli SWP di kediaman Presiden SWP Larry Sng di sini, semalam.

Justeru, katanya semua ahli parti akan bekerjasama untuk sama-sama mencapai matlamat parti, di samping menggesa ahli parti agar terus bersatu hati demi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Dalam pada itu, tonggak SWP yang juga merupakan bekas ADUN N54 Pelagus dan bekas Ahli Parlimen Julau Datuk Sng Chee Hua menegaskan bahawa SWP bukanlah parti pembangkang seperti yang didakwa.

“Ingin saya tegaskan, SWP merupakan sebuah parti mesra BN, yang memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya.

“Kami hanya akan bertanding di enam kerusi milik Parti Rakyat Sarawak (PRS) iaitu di Lubok Antu, Sri Aman, Selangau, Kanowit, Julau dan Hulu Rajang. Kami hanya menolak mainan ‘politik kotor’ yang diamalkan oleh PRS.

“Namun kami tetap berdiri teguh dan memberi sokongan penuh kepada Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi dan akan memastikan kemenangan berpihak kepada beliau dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Kira-kira 200 ahli SWP menghadiri majlis tersebut. Hadir sama, Presiden SWP Larry Sng, Timbalannya, George Lagong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus dan ahli-ahli Majlis Tertinggi Josephine Mawat, Ma Tian Ho dan Sng Chee Eng.

No comments:

Post a Comment