Saturday 30 June 2012

Pembangkang hanya gemar pertikai projek pembangunan BN: Harden

SRI AMAN: Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis mendakwa parti pembangkang hanya gemar mengganggu dan mempertikaikan sesebuah projek pembangunan yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN) untuk rakyat negara ini.

Menurutnya, pihak yang kurang bertanggungjawab ini akan turun padang untuk menghasut rakyat sambil mengatakan perkara yang tidak baik dengan harapan rakyat akan menolak pembangunan itu.

“Pembangkang hanya pandai menyebut dan berjanji, tetapi tidak berupaya untuk menunaikannya, maka anda semua harus sedar taktik mereka ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Gelanggang Futsal Komuniti 1Malaysia, Projek Jalan Kampung dan Menanam Pokok di Sekolah Kebangsaan (SK) Paku, Ulu Undop Batu Lintang, Sri Aman semalam.

Selain itu, Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang menyeru rakyat di kawasan Ulu Undop agar terus menyokong calon BN, Masir Kujat bagi mempertahankan kerusi Parlimen Sri Aman pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak.

Pada majlis itu, Harden menyampaikan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Paku, manakala Saint John Chapel Batu Lintang dan Kelab Sokanjaya JKR Sri Aman masing-masing menerima RM5,000.

Turut hadir pada majlis itu Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat, ADUN Engkilili Dr Johnnical Rayong Ngipa, Penolong Jurutera Bahagian, JKR Sri Aman Noor Ismail, Guru Besar SK Paku Daniel Sidi, Yang Dipertua PIBG SK Paku Jampong Sabong dan ketua-ketua masyarakat sekitar Sri Aman.

No comments:

Post a Comment