Sunday 10 June 2012

Wakil rakyat pembangkang gagal bantu rakyat: Chin


MIRI: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Peter Chin memberitahu wakil rakyat daripada parti pembangkang masih tidak dapat membantu rakyat meskipun mereka sudah memenangi beberapa kerusi semasa Pilihan Raya Negeri yang lalu.

“Walaupun mereka menang, sebagai contoh di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau dan Pujut, namun apa yang mampu mereka lakukan? Kesudahannya, mereka tidak dapat membantu rakyat sebaliknya hanya menabur janji dan bercakap kosong,” katanya berucap pada majlis sambutan Gawai Dayak di Kampung Sealine, dekat sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Miri berkata, justeru kemenangan Barisan Nasional khususnya SUPP pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) amat penting bagi menentukan rakyat di sini terus mendapat peruntukan daripada kerajaan Persekutuan.

“Jika SUPP kalah di Miri, tiada siapa yang akan mewakili rakyat di sini untuk meminta geran atau peruntukan daripada kerajaan pusat. Sehubungan itu, kita perlu pastikan sesiapa sahaja wakil rakyat yang mewakili BN dalam pilihan raya akan datang mendapat kemenangan.”

“Hanya dengan jawatan sebagai wakil rakyat, calon tersebut ada peluang menyuarakan apa yang diperlukan oleh rakyat di sini,” tegas Chin.

Chin merangkap Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menambah, SUPP bukan berjuang untuk kepentingan parti semata-mata sebaliknya keutamaan parti untuk membantu rakyat.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat terutama pengundi di Miri terus memberi sokongan tanpa berbelah bahagi kepada BN untuk memastikan kemenangan semasa PRU13 nanti.

Sementara itu, Chin semalam mengadakan kunjungan rumah terbuka sempena Gawai Dayak ke beberapa rumah antaranya di Kampung Sealine, Kampung Muhibbah di Kuala Baram dan kediaman Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Kaunselor Kijan Toynbee.

No comments:

Post a Comment