Friday 8 June 2012

Kabinet cadang BR1M2

Wan Jailani Razak dan Nazura Ngah
bhnews@bharian.com.my

Bantuan dipertimbang jika kerajaan mempunyai lebihan sumber kewangan

KUALA SELANGOR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan kepada Kabinet supaya kerajaan memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pusingan kedua kepada rakyat.
Beliau berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin.
“Saya beritahu Perdana Menteri kalau ada duit lebih sikit, kita buat sekali lagi,” katanya ketika berucap pada majlis mesra rakyat sempena sambutan Ulang Tahun Ke-100 Sekolah Kebangsaan Tambak Jawa, di sini semalam. Pada majlis itu, Muhyiddin menyampaikan peruntukan RM200,000 bagi projek menambah baik sekolah itu.

Pengagihan BR1M sebelum ini diberikan kepada 4.2 juta isi rumah berpendapatan kurang RM3,000 sebulan membabitkan peruntukan RM2.1 bilion.

Pada sidang media di Gombak kemudian Timbalan Perdana Menteri berkata, BR1M antara inisiatif terbaik kerajaan bagi mengurangkan beban rakyat berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Sehubungan itu, beliau yakin Perdana Menteri akan mempertimbangkan bagi meneruskan BR1M jika negara mempunyai lebihan sumber kewangan. 
Katanya, kerajaan membuat penilaian terhadap inisiatif dan insentif yang diberikan, antaranya BR1M yang memberi kesan positif untuk golongan berpendapatan rendah dan kerajaan sudah membelanjakan lebih RM2 bilion yang memberi manfaat kepada 4.7 juta isi rumah.

“Terserah kepada Perdana Menteri, kalau ada lebihan sumber kewangan, Perdana Menteri akan putuskan. Cuma ia pernah dibangkitkan ramai rakan dalam Kabinet, Ahli Parlimen, wakil rakyat dan pemimpin masyarakat.

“Langkah begini baik untuk atasi masalah kos hidup dan mengurangkan beban rakyat. Ini kita ambil kira dan sampaikan kepada Perdana Menteri,” katanya selepas melancarkan projek Perkasa Usaha Untuk Cipta Kejayaan (PUNCAK) peringkat Parlimen Gombak, di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melawati, di sini semalam. 

Muhyiddin yakin menerusi program turun padang di seluruh negara, Perdana Menteri mengetahui mengenai keperluan untuk BR1M diberikan sekali lagi kepada rakyat.

No comments:

Post a Comment