Tuesday, 5 June 2012

Perjuangan BN tiada noktah

Steve Annuar. June 5, 2012, Tuesday


RASMI: Taib mengendalikan jengkaut sambil disaksikan (dari kiri) Ahmad Lai, Rosey dan Ripin ketika merasmikan pecah tanah pasar serba guna Bekenu semalam.

Taib mahu Sarawak kecapi pembangunan lebih besar, ekonomi maju di bawah kepimpinan BN

MIRI: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mahu Sarawak mengecapi pembangunan yang lebih besar dan ekonomi yang maju di bawah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Tegasnya, perjuangan politik pembangunan pemimpin BN membangunkan negeri ini tidak akan terhenti begitu sahaja walaupun telah terbukti berjaya mentransformasikan Sarawak selama lima dekad.

“Perjuangan kita tidak akan habis. Kita akan teruskan politik pembangunan kita. Kita mahu yang lebih besar lagi,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pecah tanah pasar serba guna Bekenu di pekan Bekenu, 45 minit perjalanan dari bandar raya Miri.

Taib turut berterima kasih kepada rakyat kerana terus memberi kepercayaan kepada beliau dan BN memimpin negeri ini dan menang dalam Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri yang lalu.

Usaha kerajaan negeri membangunkan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) antara contoh rancangan besar kerajaan untuk memperkuatkan ekonomi rakyat dan negeri.

Nasib rakyat tanpa mengira kaum dan agama di seluruh pelosok negeri ini diberi perhatian agar rakyat dapat mengecapi bersama pembangunan yang dirancangkan.

“Inilah perjuangan kita. Setiap kali berkempen, kita mahu rakyat bersatu, kukuhkan perhubungan, mahukan pembangunan dan belajar.

“Sekarang pun, kita mahu rakyat kita bersatu, mahukan pembangunan dan belajar sesuatu yang lebih besar lagi,” jelasnya.

Taib berkata, perubahan kepimpinan yang mendadak, tanpa pengalaman dan kemahiran akan memberi impak yang negatif terhadap pembangunan negeri dan rakyat.

Pembangkang katanya, belum bersedia untuk memimpin negeri ini di mana rakyat masih belum menerima corak kepimpinan mereka berbanding politik pembangunan yang dirancang oleh BN sejak 50 tahun membangun dalam Malaysia.

“Sarawak ada kepimpinan yang baik, ada pemimpin yang baik, rakyat kita bersatu, rakyat kita pandai, pandai mengundi,” jelasnya.

Untuk mentransformasikan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi, Taib berkata Sarawak masih memerlukan sokongan daripada kerajaan BN dan kerajaan pusat khasnya belanjawan di mana 70 peratus peruntukan yang diberikan adalah untuk pembangunan dan 30 peratus untuk pentadbiran.

Sarawak katanya memerlukan peruntukan yang besar dan berterusan daripada kerajaan pusat yang berpuas hati dengan prestasi kerajaan negeri membangunkan negeri ini.

“Kerajaan pusat tahu kita kerja dengan bersungguhsungguh. Diberi RM1 pun jadi (projek laksana), diberi RM1.20 pun jadi,” tegasnya.

Mengulas tentang Parlimen Sibuti, rakyat di kawasan berkenaan beruntung kerana menerima pembangunan yang dirancang oleh kerajaan BN.

Katanya, daripada sebuah kawasan hutan, Bekenu telah bertukar sebagai pekan yang membangun yang diyakini akan menjadi pusat peranginan dan kunjungan utama di bahagian utara Sarawak dengan sokongan kepimpinan BN.

Turut hadir Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga me-rangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Rosey Yunus, Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang dan ADUN Lambir Ripin Lamat.

No comments:

Post a Comment