Monday, 4 June 2012

Pembangunan luar bandar hasil usaha BN, sokongan rakyat

June 4, 2012, Monday


SEGAK: Mawan menyarungkan pakaian tradisional masyarakat Iban kepada Najib.

PAKAN: Perkembangan pembangunan di kawasan luar bandar adalah hasil usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan sokongan daripada rakyat, kata Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom.

Mawan berkata, kepimpinan terancang dan bijaksana tampuk pemerintahan BN telah banyak membawa negeri Sarawak berkembang pesat dengan kemajuan dalam pelbagai aspek.

“Kawasan luar bandar turut tidak ketinggalan daripada aspek pembangunan ini, di mana banyak kawasan luar bandar berkembang maju dengan pelbagai kegiatan terutama yang melibatkan industri pertanian, perladangan dan penternakan.

“Kemajuan yang berkembang ini juga telah memberi nafas baharu bagi masyarakat di kawasan luar bandar terutama daripada aspek suntikan kemajuan sosioekonomi yang membawa kepada peningkatan pendapatan dan kualiti hidup.

“Pembangunan terancang yang dipergiatkan oleh pemimpin kerajaan BN telah banyak membawa kejayaan dan kemajuan kepada masyarakat di negara ini hingga nikmatnya dapat dirasai hingga ke saat ini,” katanya.

Mawan berkata demikian dalam ucapan alu-aluan dalam lawatan rasmi Perdana Menteri sempena sambutan Hari Gawai Dayak ke Rumah George Chunggut, Nanga Nansang, Pakan yang juga merupakan rumah panjang kediamannya, semalam.

Majlis berkenaan dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Timbalan Menteri Pengangkutan Jelaing Mersat, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Jacob Dungau Sagan.

Dalam ucapannya, Mawan turut menegaskan sungguhpun demikian masyarakat luar bandar masih lagi dahagakan pembangunan.

“Masih lagi banyak peluang dan ruang pembangunan yang perlu dinikmati oleh rakyat dari kawasan luar bandar dan lawatan Perdana Menteri ke kawasan Pakan ini diharap mampu memantau dan melaksanakan apa yang sepatutnya dimajukan di kawasan ini seperti yang kita telah sarankan dalam perancangan kita selama ini.

“Melihat kepada keadaan ini saya menyeru kepada masyarakat khususnya di kawasan luar bandar agar tidak mudah terpengaruh dengan hasutan dan dakyah yang dimainkan pihak pembangkang kerana semua itu hanya gimik politik mereka untuk meraih undi dan bukan perjuangan untuk rakyat.

“Kealpaan dan kesilapan dalam membuat keputusan akan hanya merugikan rakyat sendiri,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment