Thursday, 7 June 2012

Hasrat Donald lawan Masir tidak mengejutkan rakyat Sri Aman

SRI AMAN: Hasrat bekas ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan Donald Lawan bertanding atas tiket Bebas menentang Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti tidak mengejutkan rakyat Sri Aman.

Ini berikutan khidmat Donald yang merupakan rakan rapat Masir sebelum ini sudah tidak relevan di hati para pengundi di Parlimen Sri Aman terutamanya ahli Parti Rakyat Sarawak (PRS) lagi.

Ketua Pergerakan Pemuda PRS Balai Ringin, Tuai Rumah Alex Libau mendakwa rakyat sudah maklum Donald sudah pasti tidak akan dipilih pucuk pimpinan Parti Rakyat Sarawak (PRS) untuk menggantikan Masir selaku calon PRS mewakili Barisan Nasional (BN) pada PRU13 kelak.

Alex berkata, bapa kepada ADUN Balai Ringin Snowdan Lawan itu harus sedar bahawa kejayaan BN sebenarnya terletak di tangan pengundi sekali gus tidak akan menggentarkan rakyat DUN Balai Ringin nanti.

“Wakil rakyat boleh disamakan seperti peguam namun rakyat adalah hakim dan keputusan tetap di tangan kami untuk menentukan mereka betul atau salah dan menang atau kalah.

“Donald harus berfikir tentang tindakan itu kerana ia boleh memberi kesan terhadap sokongan rakyat kepada anaknya (Snowdan) yang menjadi wakil rakyat BN di DUN Balai Ringin pada Pilihan Raya Negeri akan datang,” tegasnya.

Sementara itu Ketua Pergerakan Wanita PRS Balai Ringin, Lena Libau berkata, ketua kaum dan pengundi di Balai Ringin menyifatkan Masir seorang calon yang paling relevan untuk dicalonkan semula pada PRU13 nanti.

Masir juga wakil rakyat yang sering turun padang menemui rakyat di kawasannya selain bertindak telus menyalurkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada rakyatnya.

Suara-suara sumbang yang mendakwa Masir menyalahgunakan peruntukan MRP ternyata tidak benar sama sekali, ujarnya.

“Ia merupakan satu strategi pihak yang cemburu terhadap kejayaan Masir dalam menyalurkan banyak projek pembangunan di kawasan Parlimen Sri Aman,” kata beliau.

Lena mendakwa mereka tahu dalang di sebalik penyebaran fitnah itu dengan tujuan untuk memburukkan Masir.

“Kami Tuai Rumah, wakil Tuai Rumah, rakyat, Pemuda dan Wanita PRS serta komponen parti BN yang lain di kawasan Balai Ringin memberi sokongan penuh kepada Masir pada PRU13 yang akan diadakan bila-bila masa dari sekarang,” kata beliau.

No comments:

Post a Comment