Wednesday 6 June 2012

Hanya Donald yang tahu sebabnya Masir langsung tidak gentar hadapi saingan daripada ‘sahabatnya’

Patricia Gari. June 6, 2012, Wednesday


KUCHING: Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat berkata, hanya Donald Lawan tahu sebab beliau mahu bertanding menentang calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Beliau berkata, kenyataan Donald mahu merampas kerusi Parlimen Sri Aman daripadanya memang suatu yang sukar diterima, memandangkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan itu sebelum ini merupakan ahli BN.

“Saya dengan beliau (Donald) tiada sebarang perselisihan faham dan kami memang berkawan baik dan saya mengakui beliau banyak membantu saya ketika pertama kali bertanding pada PRU (2008).

“Sekarang, secara tiba-tiba beliau mahu bertanding menentang saya pada PRU13, sebabnya hanya beliau sendiri yang tahu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Masir menambah, beliau sedikit pun tidak gentar berdepan persaingan daripada ‘sahabatnya’ itu dan menerimanya dengan tangan terbuka.

Keputusan untuk menentang beliau, katanya, adalah hak Donald kerana negara mengamalkan sistem demokrasi dengan sesiapa sahaja layak boleh bertanding pada pilihan raya.

“Lebih ramai lebih bagus… Saya tidak bimbang dengan tentangan ini malah bersedia menghadapinya,” tegas Masir.

Isu Donald, seorang ahli perniagaan mahu bergiat aktif semula dalam arena politik negara disiarkan dalam sebuah tabloid berbahasa Iban baru-baru ini.

Tabloid berkenaan melaporkan beliau begitu berminat bertanding merampas kerusi parlimen Sri Aman pada PRU13 sebagai calon Bebas yang mesra BN.

Turut dilaporkan pada halaman depan tabloid itu ahli perniagaan berkenaan sudahpun menabur janji-janji pilihan rayanya antaranya menubuhkan dana untuk pelajar dikenali ‘Tabung Pelajar Sekular P202’ dan gaji bulanannya sebagai Ahli Parlimen RM9,000 akan disalurkan sepenuhnya ke dalam tabung berkenaan.

Masir dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) menjadi Ahli Parlimen Sri Aman selepas mengalahkan calon Bebas, Cobblod John Lusoi pada PRU12 2008.

Manakala, Donald mula berkecimpung dalam dunia politik apabila beliau bertanding pada Pilihan Raya Negeri 1991 di Bukit Begunan atas tiket BN dan berjaya menewaskan orang kuat Parti Bansa Dayak Sarawak, Dato Sri Daniel Tajem yang juga bekas timbalan ketua menteri dengan majoriti 534 undi.

Bagaimanapun, beliau bertukar angin dengan mencuba nasib sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri 1996 di konstituensi sama dan tewas kepada Datuk Mong Dagang dengan majoriti 2,165 undi.

No comments:

Post a Comment