Friday 4 April 2014

Undi berasaskan kaum tidak sesuai

MIRI: Kaum minoriti di negeri ini menolak undian berasaskan kaum dan menegaskan tiada tempat untuk cadangan seumpama itu di negeri ini mahupun negeri jiran, Sabah, yang mempunyai penduduk berbilang kaum dan etnik.

Exco Pemuda PBB yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau memberitahu demikian ketika membidas cadangan undi berasaskan kaum, yang diutarakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, awal minggu ini.

“Kami, suku kaum minoriti di Sarawak amat bertuah untuk diwakili di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan ini tidak akan berlaku jika cadangan mengundi berasaskan kaum dilaksanakan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai isu tersebut, semalam.

“Saya pasti cadangan itu tidak akan dapat dilakukan di negeri ini dan saya pasti kaum minoriti akan dipinggirkan dan terus tertinggal di belakang jika cadangan ini menjadi kenyataan,” katanya.

Menurut Dennis lagi, kerusi Parlimen Baram adalah contoh terbaik yang menyaksikan konsep perkongsian kuasa dan ia telah berjalan dengan baik di negeri ini yang memiliki pelbagai kaum dan etnik minoriti.

“Saya seorang Kayan dan mewakili (DUN) Telang Usan manakala Datuk Sylvester Entri (Muran) adalah kaum Iban yang mewakili DUN Marudi dan Ahli Parlimen kita di Baram ialah Anyi Ngau yang berketurunan Kenyah,” katanya.

Beliau berkata ini adalah contoh yang menunjukkan suara-suara minoriti didengar dalam badan penggubal tertinggi di peringkat negeri dan kebangsaan, sambil pada masa yang sama seorang lagi menteri penuh daripada etnik Orang Ulu, Kelabit iaitu Datuk Seri Idris Jala yang dilantik menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), yang juga Menteri Pembangunan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing juga melahirkan rasa tidak setuju dengan cadangan Shahidan itu.

Menurut Masing, pengundi harus mengundi calon yang terbaik dan bukannya berasaskan kaum dan agama mereka.

Dalam pada itu, pihak pembangkang turut mengkritik cadangan itu dengan memberitahu bahawa ia akan menjadi satu ‘penaklukan’ minoriti dan cenderung kepada dasar apartheid.

Kedua-dua parti komponen Barisan Nasional, MCA dan GERAKAN juga turut menyelar cadangan itu sebagai ‘tidak boleh diterima’ dan tidak praktikal dalam konteks Malaysia yang bersatu padu.

Dalam pada itu, Shahidan ketika mengemukakan cadangan itu berkata beliau mengambil kira langkah ke arah memastikan perpaduan di Malaysia dan bukannya sistem pilihan raya yang ada sekarang, yang berdasarkan kerusi negeri dan Parlimen. - theborneopost

Thursday 3 April 2014

PKR akan cabar larangan kemasukan

Akan fail semakan semula kehakiman, cabar larangan empat pemimpinnya masuki Sarawak

KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak akan memfailkan semakan semula kehakiman bagi mencabar larangan terhadap empat pemimpin parti itu di peringkat pusat daripada memasuki negeri ini semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian baru-baru ini.

Empat pemimpin PKR yang dilarang memasuki Sarawak ialah Naib Presidennya Tian Chua, Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Wanita Zuraida Kamaruddin dan Pengarah Strategi Raifizi Ramli.

Pengerusinya Baru Bian berkata perkara itu telah dibincangkan bersama Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tian dan Raifizi di pejabat Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Sibu baru-baru ini.

“Kami telah membincangkan aspek undang-undang dan kami buat masa ini cuba mendapatkan kenyataan daripada keempat-empat pemimpin terbabit seterusnya menyediakan dokumentasi.

“(Kali ini) kami bernasib baik kepada undang-undang yang telah dipinda yang membolehkan kami memfailkan semakan semula kemudian.

“Sebelum ini, semakan semula kehakinan hanya 40 hari tetapi sekarang dipanjangkan kepada tiga bulan.

“Sekurang-kurangnya ada masa untuk kami membuat persiapan memandangkan buat masa ini, kami sangat sibuk dengan pemilihan perwakilan parti,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Baru yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan yakin semakan semula kehakiman boleh dibuat memandangkan kes itu sangat kukuh.

“Ketua pembangkang jelas mahu memasuki Sarawak bagi tujuan tunggal untuk menjalankan aktiviti politik yang sah, seperti yang dibenarkan oleh Akta Imigresen,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, PKR Sarawak katanya mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memecat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim kerana mencadangkan agar rakyat Malaysia mengundi berdasarkan kaum.

Baru berkata cadang Shahidan itu sangat berbahaya dan ia menggambarkan rakyat negara ini ‘benar-benar kembali ke zaman sebelum ini’.

Tambahnya, PKR sangat bimbang dengan perkembangan budaya ekstrem yang ditunjukkan oleh pihak tertentu di negara ini kerana tindakan mereka amat bertentangan dengan status Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan kesederhanaan. - theborneopost

Tuesday 1 April 2014

Provokasi, retorik DAP berjanji lantik KM kaum Dayak dikutuk

KUCHING: Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mengutuk provokasi dan retorik Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang berjanji akan melantik Ketua Menteri daripada kaum Dayak sekiranya berjaya membentuk kerajaan di negeri ini.

Setiausaha Agung Pemuda SUPP Wilfred Yap berkata, kenyataan itu seperti tidak menghormati kebijaksanaan rakyat Sarawak yang secara terang menolak parti komponen Pakatan Rakyat – Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Balingian.

Menurutnya, kemenangan besar BN di Balingian menunjukkan sokongan padu rakyat terhadap kerajaan memerintah dan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.

“Kita percaya kaum bukan isu untuk dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak kerana Perlembagaan Negeri tidak menghalang mana-mana rakyat Sarawak walaupun berbeza agama dan etnik untuk menyandang jawatan ini.

“Kaum Cina di Sarawak juga boleh menjadi Ketua Menteri sekiranya mendapat sokongan daripada majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” katanya menerusi kenyataan akhbar.

Wilfred berkata pemimpin DAP gagal untuk menyuarakan hak pengundi Cina yang memberi kepercayaan kepada mereka. - theborneopost

DAP ibarat ayam bertelur sebiji riuh sekampung


SIDANG MEDIA: Adenan (tengah) mempengerusikan sidang media di pejabatnya semalam bersama Rundi (kiri) dan Abdullah. — Gambar Muhd Rais Sanusi

Sebaliknya BN seperti penyu, meskipun hasilkan 100 telur berkualiti namun tetap bersikap rendah diri

KUCHING: Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem menyifatkan ‘Go Rural Project’ oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) ibarat ayam yang bertelur sebiji riuh sekampung.

Berlainan dengan Barisan Nasional (BN) yang diibaratkan seperti penyu, meskipun menghasilkan 100 telur yang berkualiti namun BN tetap dengan sikap rendah diri.

“Mereka (DAP) bebas untuk menjalankan usaha mereka sejauh mana yang mereka mahu tetapi persoalan sama ada rakyat akan menerima atau tidak itu kita akan lihat nanti.

“Bagi saya tiada apa yang harus dibanggakan dengan projek berkenaan jika sekadar mahu menunjuk-nunjuk bahawa mereka membuat kerja,” kata Adenan.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabatnya di Tingkat 22, Bangunan Wisma Bapa Malaysia di sini semalam.

‘Go Rural Project’ merupakan salah satu strategi parti itu untuk menembusi kawasan luar bandar di bawah program Impian Sarawak.

Tambah Adenan, kerajaan mungkin agak perlahan dan mengambil masa dalam menyalurkan pembangunan tetapi usaha tersebut adalah berterusan dan konsisten.

Sebagai contoh di Balingian, pembangkang mendakwa bahawa kemenangan besar BN adalah disebabkan banyak projek yang dijanjikan.

Realitinya menurut Adenan, kerajaan telah memberikan projek sejak 1963 lagi malah sebelum rakyat mengetahui akan kewujudan pembangkang iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Kerajaan telah memberi projek-projek di Balingian sejak tahun 1963 lagi.

“Air, elektrik, jalan, sekolah, klinik dan sebagainya semuanya telah diberikan malah sebelum rakyat mendengar mengenai PKR lagi.

“Usaha ini akan kita teruskan dari semasa ke semasa secara berperingkat-peringkat malah ketika PKR tidak lagi wujud di Balingian ini dan Sarawak amnya,” tegas Adenan. - theborneopost

Kemenangan BN tanda bermulanya pengakhiran PKR di Sarawak


ADENAN
KUCHING: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PKR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, 29 Mac lepas merupakan permulaan kepada pengakhiran Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Sarawak.

Perkara ini dinyatakan sendiri oleh Pengerusi BN Negeri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem pada sidang media di pejabatnya, Tingkat 22, Wisma Bapa Malaysia di sini semalam.

“Saya mahu menunjukkan secara terperinci kepada anda bagaimana besarnya kemenangan BN di Balingian berdasarkan saluran ke saluran mengundi termasuk undi awal dan undi pos.

“PKR mendakwa jumlah undi yang diperolehi mereka meningkat sebanyak 412 undi kepada 1,283 berbanding 871 pada Pilihan Raya Negeri 2011.

“Tetapi jika jumlah undi BN dibandingkan dengan jumlah undi PKR dan calon bebas pada Pilihan Raya Negeri 2011, kali ini sebenarnya terdapat penurunan terhadap jumlah undi pembangkang.

“Jadi, bagi saya semua dakwaan PKR bahawa terdapat peningkatan pada jumlah undi mereka adalah kurang tepat sebenarnya,” katanya.

Tambah Adenan, PKR turut mendakwa bahawa mereka sebenarnya memenangi PRK Balingian disebabkan tidak hilang deposit.

Namun katanya, PKR sebenarnya hampir hilang deposit dan akan hilang deposit jika jumlah undi yang diperolehi kurang daripada 146 undi lagi.

“Bagaimana mereka boleh menganggap tidak hilang deposit adalah satu kemenangan kepada mereka. Saya harap mereka akan meneruskan polisi seperti ini.

“Bagi saya ini belum pengakhiran bagi PKR tetapi permulaan kepada pengakhiran PKR di Sarawak,” kata Adenan.

Ditanya mengenai penyumbang kepada kemenangan besar BN di Balingian, Adenan yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata kejayaan ini didorong oleh banyak faktor.

Faktor utama, BN mempunyai calon terbaik iaitu Yussibnosh Balo dibantu oleh penglibatan semua parti komponen yang bekerja keras dan bersungguh-sungguh sepanjang tempoh berkempen.

“Ada yang menyatakan bahawa Ketua Menteri baharu mempengaruhi kemenangan besar BN tetapi sebenarnya sumbangan saya hanya sedikit.

“Sebaliknya kerjasama serta komitmen tinggi jentera BN secara keseluruhannya adalah penyumbang utama kepada kemenangan besar BN di Balingian,” ujar Adenan.

Pada pertandingan satu lawan satu itu, Yussibnosh, 48, memperolehi 8,190 undi dengan 6,911 undi majoriti, manakala lawannya Abdul Jalil Bujang (PKR) memperolehi 1,283 undi.

Turut hadir pada sidang media itu semalam, Setiausaha Agung BN Negeri Datuk Dr Stephen Rundi Utom dan Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol. - theborneopost