Sebaliknya BN seperti penyu, meskipun hasilkan 100 telur berkualiti namun tetap bersikap rendah diri
KUCHING: Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem menyifatkan ‘Go Rural Project’ oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) ibarat ayam yang bertelur sebiji riuh sekampung.
Berlainan dengan Barisan Nasional (BN) yang diibaratkan seperti penyu, meskipun menghasilkan 100 telur yang berkualiti namun BN tetap dengan sikap rendah diri.
“Mereka (DAP) bebas untuk menjalankan usaha mereka sejauh mana yang mereka mahu tetapi persoalan sama ada rakyat akan menerima atau tidak itu kita akan lihat nanti.
“Bagi saya tiada apa yang harus dibanggakan dengan projek berkenaan jika sekadar mahu menunjuk-nunjuk bahawa mereka membuat kerja,” kata Adenan.
Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabatnya di Tingkat 22, Bangunan Wisma Bapa Malaysia di sini semalam.
‘Go Rural Project’ merupakan salah satu strategi parti itu untuk menembusi kawasan luar bandar di bawah program Impian Sarawak.
Tambah Adenan, kerajaan mungkin agak perlahan dan mengambil masa dalam menyalurkan pembangunan tetapi usaha tersebut adalah berterusan dan konsisten.
Sebagai contoh di Balingian, pembangkang mendakwa bahawa kemenangan besar BN adalah disebabkan banyak projek yang dijanjikan.
Realitinya menurut Adenan, kerajaan telah memberikan projek sejak 1963 lagi malah sebelum rakyat mengetahui akan kewujudan pembangkang iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Kerajaan telah memberi projek-projek di Balingian sejak tahun 1963 lagi.
“Air, elektrik, jalan, sekolah, klinik dan sebagainya semuanya telah diberikan malah sebelum rakyat mendengar mengenai PKR lagi.
“Usaha ini akan kita teruskan dari semasa ke semasa secara berperingkat-peringkat malah ketika PKR tidak lagi wujud di Balingian ini dan Sarawak amnya,” tegas Adenan. - theborneopost
No comments:
Post a Comment