Wednesday, 27 June 2012

Kesedaran rakyat S’wak daftar sebagai pemilih masih rendah

KUCHING: Kesedaran rakyat Sarawak yang layak mengundi untuk mendaftar sebagai pemilih masih rendah, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar.

Mempengerusikan sidang media di sini semalam, beliau berkata daripada 1,432,672 rakyat Sarawak yang berusia 21 tahun dan ke atas, 404,996 (28.3 peratus) belum mendaftar sebagai pemilih.

“Jumlah penduduk Sarawak sekarang ialah 2,471,140 orang dan daripada jumlah itu, 1,431,672 berumur 21 tahun dan ke atas, tetapi jumlah yang masih belum mendaftar juga masih tinggi iaitu 404,996 orang.

“Jumlah ini suatu yang besar buat negeri seperti Sarawak. Jika sikap negatif ini berterusan ia boleh mencecah setengah juta dalam waktu terdekat. Ubahlah sikap negatif ini, pergi sahaja ke pejabat pos berhampiran untuk mendaftar,” katanya.

Beliau menambah, setakat 31 Mac 2012, seramai 1,026,676 pengundi berdaftar di Sarawak.

Pada sidang media sama, beliau memberitahu respons pengundi berdaftar membuat semakan senarai pengundi dikeluarkan SPR juga amat mengecewakan.

Menurutnya, hanya 110,000 daripada 12.9 juta pengundi berdaftar seluruh negara membuat semakan status mereka sebagai pengundi dengan SPR, manakala bagi kes Sarawak hanya 107 daripada jumlah keseluruhan pemilih berbuat demikian.

“Parti politik seharusnya membantu orang ramai melaksanakan tunggungjawab mereka mengundi bukannya sekadar tahu membuat aduan dan mencari kesalahan SPR,” katanya.

Mengenai pengundi Sarawak yang kini bekerja dan bermastautin di Semenanjung Malaysia, mereka dinasihati menukar alamat tempat mengundi mengikut alamat mereka tinggal sekarang.

“Kita tak tahu lagi bila tarikh mengundi… rakyat Sarawak layak mengundi yang tinggal di Semenanjung Malaysia begitu juga rakyat Semenanjung Malaysia yang bekerja di Sarawak tetapi tidak dapat balik mengundi kerana masalah cuti atau modal.

“Adalah lebih baik rasanya menukar alamat mengundi de-ngan menukar alamat tempat tinggal pada MyKad masing-masing di Jabatan Pendaftaran Negara berdekatan seterusnya menukar alamat mengundi di pejabat pos,” jelasnya.

Dengan cara itu, katanya kumpulan berkenaan tidak akan terlepas hak mereka untuk memilih wakil rakyat tempat mereka tinggal melalui sistem pemilihan demokrasi.

No comments:

Post a Comment