Wednesday 20 June 2012

Melayu terus bersama BN

by Mahathir Haroun. 

KUCHING: Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Fadillah Yusof yakin orang Melayu di Sarawak akan terus bersama Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau berkata mereka akan terus kekal bersama BN disebabkan parti pemerintah itu telah membuktikan kesungguhan untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

“Saya yakin orang Melayu akan bersama kita (BN), ini kerana BN telah membuktikan kesungguhan berkhidmat kepada rakyat,” katanya menerusi sistem pesanan ringkas, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usaha PKR menawan kawasan pengundi Melayu di negeri ini khasnya Petra Jaya dan Santubong.

Naib Pengerusi PKR Negeri Sarawak See Chee How dipetik sebagai berkata, kawasan milik PBB merupakan antara kawasan berpotensi PKR.

Dalam pada itu, Fadillah yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menjelaskan, BN juga telah membawa banyak kebaikan dari segi dasar dan strategi walaupun masih banyak yang perlu dilakukan.

“Rakyat Sarawak adalah orang yang bijak, sayangkan kedamaian dan keamanan serta perpaduan.

“Mereka mampu menilai siapa yang boleh mewakili mereka dengan sebaiknya sama ada untuk pembangunan mahupun menyuarakan hasrat di peringkat negeri dan negara,” ujarnya.

Justeru menurutya, rakyat harus secara ilmiah dan berdasarkan fakta serta realiti mengenali parti yang boleh menjamin masa depan yang lebih baik.

“Pembangkang akan sentiasa membangkitkan dan memainkan sentimen untuk membangkitkan keraguan serta kemarahan rakyat terhadap kerajaan (BN) untuk tujuan politik mereka.

“Saya mengajak kita semua (rakyat) menilai bukan berasaskan sentimen tetapi berdasarkan fakta dan secara rasional,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment