Sunday, 3 June 2012

Bayangan calon Mas Gading semakin jelas

June 3, 2012, Sunday

BAU: Bayangan calon untuk kerusi Parlimen Mas Gading semakin jelas apabila Naib Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Rayan Narong mengumumkan senarai tiga nama yang berpotensi menggantikan Datuk Dr Tiki Lafe.

Tiga calon tersebut terdiri daripada Timbalan Pengurus Besar SALCRA Anthony Nogeh dan dua beradik, Henry Jinep seorang ahli perniagaan berjaya serta William Jinep yang merupakan Kontroler Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS).

Rayan mengumumkan senarai nama ketiga-tiga calon berkenaan semasa kunjungan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan ke Bung Konis, Bau sempena Hari Gawai semalam.

Semasa berucap pada majlis itu, Rayan berkata, Ahli Parlimen sedia ada sudah dipecat keahliannya daripada SPDP, justeru terdapat muka baharu akan bertanding untuk mempertahankan Mas Gading pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Malah menurutnya, sokongan masyarakat Mas Gading terhadap SPDP masih kuat walaupun terdapat dakwaan menyatakan 1,000 ahli keluar parti disebabkan pemecatan beberapa pimpinan parti.

“Setakat ini, tiada laporan bertulis mengenai ahli keluar parti atau menghantar balik kad keahlian.

“Hampir 7,000 ahli SPDP di Mas Gading, malah bilangan ini bertambah setiap hari dengan kemasukan ahli baharu,” katanya.

Menurut Nayan, Mas Gading boleh dilabelkan sebagai kubu kuat SPDP dan Barisan Nasional (BN) kerana tidak pernah kalah di kerusi berkenaan.

“Kami (SPDP) sudah bersedia sepenuhnya untuk mempertahankan kerusi Mas Gading,” ujarnya.

Parlimen Mas Gading mempunyai 23,000 pengundi yang terdiri daripada 70 peratus Bidayuh, 20 peratus Cina manakala hampir 10 peratus Melayu dan Iban.

Di bawah Parlimen berkenaan terdapat dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tasik Biru dan Opar.

No comments:

Post a Comment