Wednesday, 27 June 2012

Pembangkang guna pelbagai kaedah sebar propaganda burukkan kerajaan: Fadillah

KUCHING: Pembangkang akan terus menggunakan pelbagai kaedah untuk menyebarkan propaganda terutama berbentuk tohmahan yang memburukkan kerajaan.

Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Fadillah Yusof berkata, pelbagai kaedah mereka gunakan bagi memastikan pembohongan sampai kepada rakyat termasuk menerusi blog, media sosial, radio dan risalah.

Menurutnya, Pergerakan Pemuda PBB tidak akan membiarkan perkara itu terus menular dan pemantauan berterusan dilakukan bagi memastikan rakyat menerima maklumat betul.

“Kami sememangnya memantau dan bertindak bukan sahaja menangkis tohmahan atau dakyah mereka (pembangkang) tetapi memberi penerangan dengan fakta yang betul kepada rakyat,” katanya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persediaan Pergerakan Pemuda PBB untuk menangkis tohmahan dan penipuan pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Fadillah yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, penerangan mengenai dasar dan usaha kerajaan sentiasa disalurkan kepada rakyat pada setiap masa.

“Kami akan terus memberi penerangan dan menjelaskan setiap tohmahan atau isu dibangkitkan pembangkang agar rakyat lebih memahami pihak mana yang benar,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau menggesa rakyat negeri ini supaya melihat dan menilai kemampuan pembangkang secara bijaksana.

“Jangan bertindak mengikut emosi sebaliknya perlu meng-ambil kira fakta sebenar dan berfikiran secara rasional,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment