Tuesday 5 June 2012

Masyarakat Dayak masih menyokong SUPP: Chin

Agnes Tugong. June 5, 2012, Tuesday


LAUNGAN BERSATU: Chin mengetuai ahli-ahli SUPP melaungkan slogan ‘Sa’ati’ sebanyak tiga kali tanda bersatu antara mereka sempena Ulang Tahun Ke-53 SUPP di Kuching semalam.

Jika tidak lagi relevan, sudah pasti Dayak akan keluar daripada parti tetapi yang berlaku adalah sebaliknya


KUCHING: Sokongan masyarakat Dayak terhadap Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) masih kukuh terutama di kawasan tradisional milik parti ini.

Presidennya Datuk Seri Peter Chin berkata dakwaan bahawa sokongan kaum ini kepada SUPP semakin merundum adalah tidak tepat.

Katanya jika SUPP tidak lagi relevan kepada kaum Dayak, sudah pasti mereka akan keluar daripada parti tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Sehingga ke saat ini, SUPP katanya tidak menerima sebarang peletakan jawatan atau keluar parti daripada kalangan ahli-ahli Dayak.

“Tanggapan mudah sesetengah pihak bahawa SUPP telah kehilangan sebahagian besar sokongan masyarakat Dayak pada saya adalah tidak tepat.

“Saya sendiri baharu sahaja berkunjung ke kawasan Dayak untuk sambutan Gawai dan apa yang saya dapati ialah, SUPP nampaknya agak popular di kalangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas upacara menaikkan bendera sempena Ulang Tahun Ke-53 SUPP di pekarangan ibu pejabat parti itu di sini semalam.

Tambah Chin, permohonan keahlian baharu SUPP menunjukkan sebahagian besar adalah di kalangan ahli Bumiputera.

Kawasan Batu Lintang contohnya, menunjukkan permohonan agak menggalakkan daripada ahli Melayu untuk menyertai SUPP.

“Kalau Bumiputera rasa tidak relevan lagi, mereka akan meletakkan jawatan tetapi perkara ini tidak berlaku. Ini membuktikan bahawa SUPP masih relevan kepada kaum Bumiputera,” katanya.

Menyentuh mengenai upacara tersebut, Chin berkata: “Pagi ini apa yang penting ialah kami berkumpul bersama dalam semangat bersatu untuk parti menjadi lebih baik.

“Ini adalah mengenai parti, sejiwa bersama rakyat,” katanya ringkas sambil menambah akan berucap lebih panjang pada majlis yang akan diadakan sebelah malam.

Terdahulu dalam ucapannya, Chin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli SUPP yang hadir bersama pada upacara merayakan ulang tahun ke-53 parti itu.

Beliau berharap semua ahli akan terus bersatu untuk parti terus kekal kukuh dan relevan kepada rakyat.

Turut hadir Setiausaha Agung Prof Dr Sim Kui Hian, Ketua Pemuda Tan Kai dan Ketua Wanita Tnay Li Ping, pengerusi-pengerusi cawangan, ahli jawatankuasa tertinggi parti serta ahli-ahli parti.

No comments:

Post a Comment