Saturday, 16 June 2012

Tuai rumah, peniaga bantah konsert SWP di Lubok Antu

LUBOK ANTU: Seramai 14 tuai rumah dan dua peniaga membantah konsert persembahan lagu anjuran Parti Pekerja Sarawak (SWP) yang dijadual akan diadakan Cafe 88, Lot 159 Pekan Lubok Antu pada 21 Jun ini.

Berikutan itu, Exco Pemuda Parti Rakyat Sara-wak (PRS) Zainie Aji yang mengetuai bantahan bersama 14 tuai rumah dan dua peniaga terbabit menyerahkan surat bantahan itu kepada Balai Polis Lubok Antu di sini, semalam.

Zainie berkata, konsert yang berniat politik itu akan mengganggu lalu lintas di pekan ini serta kegiatan meminum alkohol dalam kalangan penonton boleh menimbulkan kekecohan sekali gus mengganggu ketenteraman penduduk.

“Konsert ini strategi murahan SWP yang gagal mendapat sebarang sambutan daripada penduduk di kawasan rumah panjang sekitar Lubok Antu selama ini.

“Tuai-tuai rumah di sini berpendapat jika SWP mahu mengadakan program, maka mereka bolehlah menganjurkannya di kawasan Kuching dan rumah, termasuk pejabat Presiden SWP, Larry Sng,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, semalam.

Selain itu, menurut Zainie, kumpulan bantahan ini yang mewakili rakyat di Parlimen Lubok Antu enggan menyokong SWP pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

“Penduduk berasa malu dan tercabar dengan SWP yang dipimpin oleh orang bukan Dayak tetapi mahu meletakkan calon mereka di kawasan majoriti Dayak pada pilihan raya nanti.

“Atas sebab ini, kami menolak kepimpinan SWP,” kata Zainie.

Kumpulan bantahan itu juga memberitahu mereka menyokong penuh Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak bagi mengi-barkan bendera Barisan Nasional (BN) pada PRU13 nanti.

No comments:

Post a Comment