SEMPORNA - Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menolak tohmahan sesetengah pihak kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak menunaikan kewajipannya untuk mendaulatkan syiar Islam di negara ini.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu sebaliknya menegaskan bahawa Umno yang yang kini menjadi tunjang kerajaan BN sudah mendaulatkan syiar Islam jauh lebih awal - sebelum negara ini mencapai kemerdekaan lagi dan meneruskannya hingga negara merdeka.
"Dari titik permulaan negara kita bebas daripada penjajahan, kita telah memberi penekanan betapa pentingnya agama Islam di negara ini. Bukan saja kita amalkannya dan melaungkannya tetapi dalam perlembangaan Umno, sebelum merdeka lagi, kita telah letakkan Islam sebagai agama rasmi.
"Apabila negara ini merdeka, kita terjemahkannya menjadi tunggak perlembagaan negara ini iaitu agama Islam sebagai agama rasmi negara dan agama lain boleh diamalkan tanpa ada kekangan kepada kaum lain," katanya kepada pemberita selepas menutup program Kursus Asas Haji Peringkat Daerah Semporna di sini hari ini.
Shafie menegaskan kerajaan BN tidak tergamak menggunakan agama Islam untuk kepentingan politik.
Katanya, program seperti penubuhan universiti Islam, Tabung Haji, penekanan terhadap pendidikan Islam di peringkat pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah hingga ke peringkat lebih tinggi adalah bukti kerajaan komited mendaulatkan syiar Islam.
Sedangkan parti pembangkang, kata beliau, menggunakan agama untuk kepentingan politik hingga sanggup mendakwa sesiapa yang mengundi parti mereka akan masuk syurga.
Umno sebaliknya bekerja keras bagi memastikan syiar dan kedududkan agama Islam di negara ini terus terpelihara.
"Apa yang kita lakukan sebagai contoh pada hari ini, kita melatih bakal-bakal haji untuk membolehkan mereka menunaikan ibadat dengan sempurna," katanya.
Shafie kesal kerana ada pihak yang mempolitikkan agama hingga sanggup berdemonstrasi di luar negara seperti di Arab Saudi hingga boleh menjejas kuota jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci.
Menteri itu berkata, kerajaan BN tidak akan menggunakan masjid untuk menabur fitnah, buat ceramah mencerca dan menghasut, seperti dilakukan pembangkang. - Bernama
No comments:
Post a Comment