Monday, 7 May 2012

Wan Junaidi kesal dengan tuduhan dakwa dirinya tidak sihat


Posted on May 7, 2012, Monday

KUCHING: Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi kesal dengan tuduhan pihak tertentu yang mendakwa dirinya mengalami masalah kesihatan dan melakukan pembedahan pintasan jantung.

Beliau berkata, pada masa sekarang kesihatannya berada pada tahap terbaik malah masih mampu meneruskan khidmat kepada rakyat di kawasannya.

“Semalam semasa berada di lapangan terbang, datang seorang pegawai kanan kerajaan bertanya mengenai kesihatan, jadi saya terus menjawab, alhamdulillah sihat.

“Pegawai itu kemudian bertanya lagi adakah benar saya menjalani pembedahan pintasan jantung lalu saya bertanya balik kepadanya bila (pembedahan) dan dari mana mendapat cerita.

“Saya juga rasa hendak membuka baju untuk menunjukkan ada atau tidak kesan pembedahan,” katanya kepada pemberita selepas Jom Minum Pagi Bersama Pemimpin di sini, semalam.

Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, khabar angin tersebut kini tersebar luas di agensi kerajaan tertentu bagi membolehkan laporan dibuat bahawa kesihatannya tidak baik.

“Saya amat sedih dengan tindakan pihak yang ingin sangat menjadi calon tetapi menggunakan taktik kotor.

“Kalau tuduhan lain saya tidak kecewa tetapi ini soal kesihatan dan benda yang tidak berlaku ke atas saya,” ujarnya.

Menurutnya, perkara itu tidak dilakukan orang dalaman parti tetapi melibatkan agensi kerajaan tertentu.

“Saya berpesan jangan bercakap bohong dan jangan buat sebaran sembarangan serta tidak tepat kepada pihak atasan.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Ketua Menteri (Pehin Sri Abdul Taib Mahmud) mengetahui siapa (wakil rakyat) yang bekerja keras,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment