Monday 21 May 2012

Parti baharu jejas perpaduan

Posted on May 17, 2012, Thursday


MIRI: Kemunculan parti-parti baharu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 membuktikan Malaysia mengamalkan sistem demokrasi namun sesetengah pihak sengaja menyalahgunakan amalan terbabit.

Pemerhati Politik Wan Zain Syed Mohdzar melihat kemunculan parti-parti baharu dengan agenda tertentu hanya membawa kesan buruk kepada rakyat khususnya perpecahan perpaduan.

“Sudah pasti kemunculan parti-parti baharu ini akan memperjuangkan nasib golongan yang disisih dan pada masa sama mereka mempunyai agenda lain seperti ingin menang pilihan raya,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Beliau memberitahu, kemunculan parti-parti baharu boleh mengganggu gugat perpaduan kaum dan kesatuan bangsa seterusnya menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat tempatan.

“Malaysia tidak seperti negara-negara maju lain kerana negara ini sentiasa berpolitik dalam apa jua isu seperti isu sekolah, air dan sebagainya bahkan rakyat juga terpaksa mengikut arus sama,” ujarnya.

Beliau memberitahu, sesebuah keluarga juga kemungkinan akan berpecah belah hanya kerana suami atau isteri mempunyai fahaman politik yang berbeza.

“Kita tidak menafikan bahawa kemunculan parti-parti baharu ini lebih banyak membawa kesan buruk kerana rakyat akan terkeliru untuk memilih parti yang benar-benar membela mereka,” tegasnya.

Menurutnya, apabila terlalu banyak parti politik maka ia akan mewujudkan satu suasana politik tidak aman kerana parti baharu akan mengambil kesempatan ke atas kelemahan parti-parti lain.

“Situasi sebegini yang merisaukan kita kerana parti-parti politik akan bertelagah satu sama lain menyebabkan rakyat dalam dilema untuk memilih siapa yang benar atau siapa salah,” jelasnya.

Tambahnya, meskipun Malaysia mengamal sistem demokrasi berperlembagaan, namun ia tidak bermaksud bahawa rakyat di negara ini boleh mengambil kesempatan sehingga menjejaskan perpaduan.

“Jangan jadikan parti politik sebagai saluran untuk menggugat perpaduan dan kesatuan bangsa kerana ia akan menjadikan rakyat sebagai individu yang mementingkan diri sendiri,” katanya.

Sehubungan itu katanya sebuah kerajaan yang stabil tidak akan terbentuk sekiranya parti-parti politik di dalamnya bertelagah dan hanya memperjuangkan ideologi masing-masing.

No comments:

Post a Comment