Monday 7 May 2012

Pakatan Rakyat akan lakar sejarah pada PRU13: Anwar


Posted on May 6, 2012, Sunday
KUCHING: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat (PR) akan mencatatkan sejarah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Beliau menambah, PR yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) akan turut melakar sejarah di Sarawak selepas dimaklumkan oleh Ketua PKR Negeri, Baru Bian bahawa parti itu akan menang pada PRU13 kelak.

“Kami bekerja keras untuk mencapai kemenangan ini kerana kami mewakili kepercayaan, amanah dan kebijaksanaan rakyat.

“Pada masa ini, rakyat kita lebih memahami dan secara perlahan-lahan sokongan mereka akan meningkat kepada Pakatan Rakyat yang mana kini ia telah hampir mencapai tahap 50 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) bagi menghadiri pelancaran operasi pilihan raya di beberapa bahagian di negeri ini.

Turut hadir, Baru yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’ Kelalan, Ketua Publisiti PKR Negeri See Chee How merangkap ADUN Batu Lintang dan ADUN Krian, Ali Biju.

Mengulas mengenai senarai calon dan kerusi yang akan dipertandingkan di Sarawak, Anwar berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada pihak negeri dan beliau hanya bertindak sebagai penasihat.

Dalam pada itu, berhubung perbincangan pembahagian kerusi antara PKR, DAP dan PAS, beliau yakin ketiga-tiga parti pembangkang itu akan bertolak ansur untuk memasti-kan PR membentuk kerajaan di bawah satu pimpinan.

Anwar dalam pada itu akan berkunjung ke Sri Aman, Pusa dan Saratok bagi melancarkan operasi pilihan raya dan seterusnya ke Miri dan Limbang.

No comments:

Post a Comment