Posted on May 12, 2012, Saturday
KUCHING: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) tidak gentar dengan Kumpulan Berlima (G5) yang berhasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Mas Gading pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.
Ketua Wanita SPDP Opar, Lansia Tasing berkata, hanya ahli dalam kalangan SPDP akan disenaraikan sebagai calon bagi Parlimen Mas Gading.
Jadi, katanya, tiada laluan untuk G5 dipilih sebagai calon BN apatah lagi tradisionalnya kerusi Mas Gading adalah milik parti SPDP.
“Ia bukan satu tindakan yang betul untuk G5 bertanding sebagai calon BN di Mas Gading menerusi platform Kelab Barisan Nasional (BN).
“Parti adalah parti dan kelab adalah kelab. Jika G5 boleh bertanding atas Kelab BN, maksudnya semua kelab-kelab yang ada di negara ini juga boleh mengemukakan calon untuk bertanding,” ujarnya.
Lansia merujuk kepada penyandang kerusi Parlimen Mas Gading Datuk Dr Tiki Lafe iaitu bekas ahli SPDP, pada sidang media di ibu pejabat parti di sini semalam.
Mengulas mengenai tindakan lebih daripada 1,000 ahli SPDP yang didakwa keluar parti baru-baru ini, Lansia percaya ia dilakukan secara terpaksa oleh mereka.
Menurutnya, perkara ini diakui sendiri oleh beberapa ahli SPDP berkenaan yang mana tindakan tersebut dilakukan secara terpaksa oleh mereka.
Kumpulan ini juga, menurut Lansia, masih mengaku diri mereka ahli SPDP dan tidak mustahil mereka akan kembali kepada parti bila-bila masa sahaja.
Dalam pada itu, Ketua Puteri SPDP Kaunselor Barbara Mawan berkata, parti terus menerima permohonan keahlian parti di sebalik krisis yang dibelenggu oleh parti.
Bagi pihak parti, katanya, mereka akan sentiasa bekerjasama antara satu sama lain di keempat-empat kawasan kerusi Parlimen SPDP terutama menjelang PRU13 akan datang.
No comments:
Post a Comment