Tuesday, 8 May 2012

Rakyat harus terus berdiri teguh di belakang kepimpinan kerajaan BN


Posted on May 8, 2012, Tuesday

TAHNIAH: Muhammad Leo (kiri) memerhatikan Taib (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan umum.


DALAT: Rakyat harus terus berdiri teguh di belakang kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi menikmati kesinambungan pembangunan yang direncanakan.

Ahli Parlimen Mukah Datuk Muhammad Leo Toyad berkata, ia amat penting khususnya kepada generasi akan datang yang merupakan aset penting kepada pembangunan negeri dan negara Malaysia amnya.

“Kerajaan amat sedar dengan keperluan rakyat khususnya dari segi pembangunan dan kemudahan infrastruktur.

“Sebab itu, kerajaan sentiasa berusaha merangka sebanyak mana yang perlu bagi memastikan rakyat tidak ketinggalan terutama di kawasan luar bandar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berambih Jegum di Padang Majlis Daerah Dalat/Oya di sini semalam.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isterinya Puan Sri Ragad Kurdi Taib dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat Datuk Fatimah Abdullah.

Menurut Muhammad Leo lagi, kerajaan turut membelanjakan jutaan ringgit bagi merealisasikan impian rakyat khususnya mengurangkan jurang kemiskinan di antara penduduk pedalaman dan bandar.

Sambil mengambil contoh kemudahan jalan raya, Leo memberitahu dengan adanya jaringan jalan sedemikian, hubungan penduduk di luar bandar dapat didekatkan dengan penduduk di bandar.

Cuma apa yang penting ujar beliau, rakyat perlu bersabar dan terus bersatu padu dalam memberi sokongan kepada kerajaan.

Dalam pada itu, golongan muda juga dinasihatkan supaya bijak dalam merebut peluang pembangunan yang dibawa oleh kerajaan.

“Hanya menceburi bidang-bidang yang diwujudkan masih belum mencukupi, sebaliknya mereka (golongan muda) juga perlu mempelbagaikan kemahiran diri,” jelas beliau.

Menurut Muhammad Leo, ia amat penting supaya mereka tidak hanya berjaya dalam satu bidang tetapi pada masa yang sama sosioekonomi mereka juga dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih baik.

No comments:

Post a Comment