Wednesday, 23 May 2012

SWP bukan sahabat BN

Posted on May 23, 2012, Wednesday


SIBU: Parti Pekerja Sarawak (SWP) bukanlah sahabat Barisan Nasional (BN), kata Setiausaha Parti Rakyat Sarawak (PRS) Cawangan Skuau Tuai Rumah Tungku Balang.

Menurutnya, pada Sabtu lalu di Rumah Abu di Selangau dekat sini, satu perhimpunan telah diadakan oleh SWP di sana dan menggunakan kain rentang yang bertulis berbunyi ‘SWP adalah parti yang disokong oleh Ketua Menteri dan Perdana Menteri’.

Dari situ ujarnya, ada segelintir ketua kaum di Selangau keliru disebabkan kain rentang terbabit dan terus menyertai kempen yang diadakan di situ.

“Ini sangat mengecewakan kami lebih-lebih lagi tuai rumah di rumah panjang tersebut kenapa dia benarkan SWP masuk ke rumah sedangkan tuai rumah adalah dilantik oleh kerajaan?

“Harap kekeliruan sebegini dapat diatasi oleh mereka yang berkenaan agar tidak menyimpang ke jalan yang salah,” ujarnya kepada Utusan Borneo, semalam.

Beliau menjelaskan bahawa presiden PRS sendiri telah bertanya kepada Ketua Menteri dan Perdana Menteri tentang perkara terbabit tetapi dinafikan oleh kedua-dua tokoh politik tersebut.

“Oleh itu, jelaslah bahawa SWP tiada kaitan dengan BN. Jika ada kaitan seperti ditulis di kain rentang itu sebelum ini, kenapa SWP mahu menentang PRS?

“PRS adalah parti komponen BN. Kenapa SWP hanya mahu menentang PRS sahaja dan ini jelas menunjukkan dendam Datuk Sng Chee Hua terhadap presiden kami,” tegasnya.

Beliau juga menyeru kepada tuai-tuai rumah amnya agar tidak membenarkan SWP berkempen di rumah panjang mereka bagi mengelakkan diri mereka dihasut oleh individu yang tidak bertanggungjawab untuk membenci kerajaan.

“Selepas mengeluarkan kenyataan ini, saya berharap tuai-tuai rumah tidak lagi keliru dengan SWP yang merupakan parti pembangkang yang tidak dapat memacu kemajuan untuk kita di kawasan pedalaman,” katanya.

No comments:

Post a Comment