Monday 7 May 2012

Pemuda PBB diminta aktif turun padang demi tambah sokongan terhadap BN


Posted on May 7, 2012, Monday

MIRI: Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) diminta memperkuatkan persiapan mereka dengan aktif turun padang menemui masyarakat demi menambah sokongan terhadap Barisan Nasional (BN).

Ketua Pemuda PBB Datuk Fadillah Yusof berkata, penyatuan Pemuda serta sokongan padu masyarakat terhadap BN akan membolehkan PBB berdepan cabaran-cabaran kempen parti lawan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang akan diadakan pada bila bila masa saja.

“Kita harus peka dengan senario politik sekarang yang akan membolehkan kita menangkis taktik-taktik parti lawan yang dikhuatiri boleh menjejaskan keamanan dan perpaduan rakyat,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau turut menggesa Pemuda aktif turun padang dan mendekati masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika menemui ahli PBB dan penduduk di Kampung Keluru Jaya Lambir semasa majlis Armada Pemuda PBB Jelajah Sarawak baru-baru ini.

Seramai lebih 200 ahli PBB terlibat dalam pengembaraan itu menggunakan tiga bas, disambut mesra dan meriah oleh penduduk kampung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat menggesa Pemuda PBB untuk mempersiapkan diri berdepan dengan cabaran-cabaran daripada parti lawan dalam PRU13.

“Kita harus bersatu dan kuat dalam memastikan kita berjaya mengharungi cabaran-cabaran pilihan raya kelak,” ujarnya.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan kerusi roda dan tongkat kepada warga emas serta beg sekolah kepada murid sekolah rendah.

Tetamu kehormat berpeluang menikmati makanan tradisi kaum Kedayan serta mengambil bahagian dalam penyediaan jamuan untuk majlis Makan Tahun.

Suasana dimeriahkan dengan persembahan nyanyian oleh artis jemputan, bermukun dan bergendang.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang dan ADUN Bekenu Rosey Yunus.

No comments:

Post a Comment