Wednesday 2 May 2012

SPDP manfaat Putera, Puteri dampingi belia

Posted on May 1, 2012, Tuesday
 
RASMI: Mawan memukul gong sebanyak tiga kali sebagai simbolik perasmian sambil disaksikan oleh (dari kiri) Sebastian, Peter Howell, Chin serta Barbara (kanan) dan Kijan (dua kanan).


MIRI: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) akan memanfaatkan sepenuhnya penubuhan sayap belianya iaitu Putera dan Puteri bagi mendampingi golongan belia di negeri ini.

Presidennya Tan Sri William Mawan Ikom berkata sayap Putera dan Puteri yang diwakili oleh golongan remaja dan belia yang kebanyakannya anak-anak ahli parti itu sendiri merupakan platform terbaik bagi parti itu memahami keperluan dan kehendak golongan remaja dan belia.

“Ini kerana kerajaan sendiri ada kalanya sukar untuk menganjurkan program yang sesuai untuk golongan ini kerana mereka tidak faham dan tidak dapat memahami kehendak dan keperluan golongan ini.

“Sebaliknya melalui Putera dan Puteri SPDP, kita akan memahami apa yang mereka mahukan, keperluan mereka kerana mereka adalah daripada golongan yang sama dan amat mengetahui apa yang mereka inginkan, termasuk program dan aktiviti,” katanya.

“Anjurkanlah apa sahaja, pertandingan menyanyi, pertandingan ratu cantik dan sebagainya jika itu yang mereka mahu dan biar mereka mengambil bahagian, kerana hanya melalui cara itu kita akan mendampingi golongan ini,” katanya sambil menambah secara tidak langsung ia boleh menarik perhatian golongan itu untuk mengambil bahagian dalam bidang politik.

Mawan berkata demikian semasa merasmikan Majlis Makan Malam Pra-Gawai 2012 anjuran Puteri SPDP Cawangan N.64 Pujut, di sini malam kelamrin.

Mawan dalam ucapannya juga menyerahkan kepada sayap Putera dan Puteri sendiri untuk memberi fokus kepada perkara yang mereka fikirkan terbaik untuk golongan remaja dan belia termasuk program dan aktiviti yang dianjurkan mereka.

Katanya, asalkan ia pada akhirnya mampu membuahkan hasil yang amat baik iaitu melahirkan golongan belia yang berfikiran positif, memahami serta meminati politik dan paling utama, turut serta memberi sumbangan kepada negara.

Dalam pada itu, sayap Putera dan Puteri SPDP yang ditubuhkan pada akhir tahun lalu, diwakili oleh ahli-ahli berusia 18 hingga 35 tahun.

Sementara itu dalam majlis yang sama, Ketua Puteri SPDP Barbara Mawan berkata cabaran pertama yang bakal dihadapi oleh ahli-ahli parti itu kelak ialah menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya, Puteri SPDP akan menubuhkan pasukan jenteranya sendiri untuk bergabung dengan Putera bagi membantu Pemuda dan Wanita SPDP menghadapi PRU akan datang bagi memastikan SPDP bukan sahaja memperolehi kemenangan di kerusi yang ditandingi tetapi memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) daripada parti lain.

Majlis makan malam yang julung kali dianjurkan oleh Puteri SPDP Pujut itu telah mendapat sambutan ramai dengan pelbagai acara menarik turut diadakan seperti persembahan tarian kebudayaan, acara memotong kek, acara merebahkan ‘pokok ranyai’ serta pertandingan Ratu Anggun Puteri SPDP.

Turut hadir Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin dan Setiausaha Politik beliau Datuk Sebastian Ting, kedua-dua Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak Peter Howell dan Kaunselor Kijan Toynbee serta Ketua Puteri SPDP Pujut Caroline Guna.

No comments:

Post a Comment