Wednesday 23 May 2012

Penan dinasihati contohi sikap rakan mereka di Long Beruang

Posted on May 23, 2012, Wednesday
 
APA KHABAR?: Dennis Ngau bertemu dengan sekumpulan ketua kaum Penan dari Ulu Baram datang ke Kompleks Dewan Undangan Negeri, semalam.


KUCHING: Masyarakat Penan di Ulu Baram Miri dinasihati agar mencontohi sikap komuniti itu di Long Beruang yang sedia menerima perubahan dan pembangunan dibawa kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, kerajaan telah merangka dengan rapi rancangan pembangunan di kawasan Penan di Ulu Baram dan untuk melaksanakannya sudah tentu memerlukan sedikit masa.

Menurutnya kedudukan penempatan komuniti itu yang jauh di pedalaman Sarawak menyebabkan kerajaan perlu mencari jalan terbaik untuk membawa pembangunan dekat dengan mereka.

Beliau juga menasihati Penan agar tidak mengulangi kesilapan lalu apabila sekumpulan komuniti itu terpedaya dengan hasutan serta janji manis seorang aktivitis alam sekitar dari Switzerland, Bruno Manser dan sehingga kini kelompok itu masih ketinggalan daripada arus pembangunan.

“NGO (pertubuhan bukan kerajaan), Bruno Manser dan sekarang pembangkang sering datang ke kawasan penempatan Penan dengan agenda tertentu.

“Beberapa perkampungan atau rumah panjang Penan yang menerima pembangunan di bawah kerajaan, mereka semakin maju sedangkan kelompok yang terpedaya dengan Bruno Manser lambatlah (menerima arus pembangunan),” katanya kepada pemberita semalam.

Menurutnya, berpuluh tahun Bruno Manser bersama Penan dan menubuhkan tabung kononnya untuk membantu komuniti itu tetapi sebuah tandas yang sempurna pun tidak mampu dibinanya.

“Saya percaya duit yang dikumpul menerusi tabung ini telah diselewengkan oleh pihak tertentu…jadi kepada Penan belajar daripada kesilapan ini dan terimalah pembangunan dibawa kerajaan,” katanya.

Beliau mengakui memang ada beberapa buah kampung Penan di konstituensinya meminta agar kampung mereka turut dibangunkan sama seperti di Long Beruang yang mempunyai Pusat Perkhidmatan Penan, kemudahan WiFi dan kemudahan asas lain.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kedatangan sekumpulan ketua kaum Penan dari Ulu Baram ke Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam kerana mahu bertemu dengan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan untuk mengemukakan kertas kerja projek Taman Aman Penan (PPP) kepada menteri berkenaan.

Kedatangan mereka dibawa oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagaimanapun hasrat bertemu dengan Awang Tengah tidak kesampaian disebabkan jadual ketat menteri berkenaan.

“Nasihat saya kepada mereka, bekerjasamalah dengan kerajaan kerana kerajaan telah merangka banyak projek pembangunan untuk Penan, cuma memerlukan sedikit masa untuk dilaksanakan,” ujarnya.

Sementara itu pada satu taklimat bersama media di bilik media Kompleks DUN, wakil kumpulan itu memberitahu bahawa Taman Aman Penan atau PPP melibatkan 18 kampung Penan terletak di Ulu Baram.

Kampung-kampung berkenaan ialah Long lamai, Long Sait, Long Kerong, Ba Lai, Long Sepigen, Long Laman, Long Murung, Long Ajen, Ba Sebateu, Ba Mubui, Long Sabai, Ba Kerameu, Ba Data Bila, Ba Pengaran Iman, Ba Pengaran Kelian, Ba Benali, Ba Jawi dan Long Kepang.

Menurutnya PPP merangkumi empat program dan 16 projek dicadangkan.

Enam projek untuk program pemeliharaan warisan budaya Penan, enam projek untuk program pemeliharaan alam sekitar dan biodiversiti, dua projek untuk pembangunan ekonomi dan dua lagi projek bagi pembangunan institusi.

No comments:

Post a Comment